Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

Merakam Kata Gibran

Ketika aku mebacamu

Aku melihat dirimu menari-nari

Di depanku

Irama bukanlah sesuatu

yang aku dambakan

Ketika aku melihatmu

Aku membacamu dengan tertib

dan resah

Bagimanakah aku mampu

membacamu , melihatmu

Jika kau sebenarnya ada

Dalam jiwaku?



September 2010

Matinya Seorang Projeksionis

Kau putarkan seluloidmu

dari projektor untuk memberikan kami senyuman

Pancaran cahaya telah memancarkan bayang

Yang membuatkan jiwa-jiwa melayang


Dalam wayangmu itu

Kutemukan diriku sendiri

Lebih dari tempat lahirku


Layarmu itu adalah sihir paling ampuh

Dalam perang melawan harga diri

Pada hari-hari ini.


Adakah kau seorang

Alfredo dari Cinema Paradiso

Yang menyerahkan hidup untuk peminat wayang?

Ataupun kau pernah menjadi Toto

pada hari-hari semalam

lalu meyimpan rapi cinta untuk mengejar mimpi


Projektormu hanya bingar di saat

maya menari dan buana menyepi

Projektormu mula sepi di kala

buana menyanyi dan maya terkunci


Malam ini di tempat ini

Aku mendoakan kebebasan abadimu

Pabila merdu projektormu

Memainkan mimpi-mimpi

Sudah menjadi babak-babak imbas kembali

Sebuah wayang gambar hidup


Engkaulah

Alfredo dari Cinema Paradiso

Yang tak pernah menemui Toto

Dan ditakdir hidup dalam

Dunia wayang di kamar-kamar tidur


P.Perdana

02092010


p/s : ketagih menulis puisi


Perginya Seorang Bujang Menanti Menjadi Bapa

Kau katakan padaku
jika cuma ada
kosong perpuluhan kosong
kosong
kosong
satu peratus

gadis yang hot dan pandai
dalam buana ini
orang macam aku
boleh dapat 5 orang

aku diam tanda harap


p/s : semoga kau tabah dalam jalan yang kau pilih.

Cara belajar

Perhimpunan anti-ISA: Lima pelajar didapati bersalah

Mahkamah majistret Kuala Lumpur hari ini mendapati lima pelajar universiti bersalah kerana menyertai perhimpunan haram anti-ISA pada Julai 2001.Mereka masing-masing didenda RM3,900 atau tiga bulan penjara. Mahkamah juga menolak permohonan mereka untuk menangguhkan hukuman tersebut.

Majistret Hafiza Sauni, bagaimanapun, melepaskan seorang pelajar daripada tuduhan tersebut.Mereka yang didapati bersalah ialah Rafzan Ramli, Khairul Amal Mahmud, Ahmad Kamal Abdul Hamid, Nik Norhafizi Nik Ismail dan Zulkefle Idris - semasa pelajar universiti tempatan ketika itu.
Mereka telah digantung daripada meneruskan pengajian mereka mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti Act.

-dipetik dari Malaysiakini

Mereka bilang pelajar perlu belajar. Jangan melibatkan diri dengan politik. Saya tak pasti jika 5 pelajar ini terlibat dengan politik. Namun saya berpendapat mereka sengaja hadir untuk menujukkan pendapat mereka tentang akta tersebut. Saya tak tahu sama ada mereka ini suka berpolitik atau apa.

Tapi, tugas pelajar bukan sekadar belajar sahaja. Macam tugas penulis. Ada kerja lain yang perlu dibuat bagi membuktikan diri. Dalam kes ini, pelajar perlu menyuarakan pendapat. Kalian boleh baca sejarah, dan kalian akan dapati di mana pelajar telah menggoncang ketakadilan hingga runtuh menjadi puing-puing. Suara orang muda.Tokoh-tokoh pejuang itu mungkin sama umur dengan kalian,bahkan lebih muda.

Mungkin sekarang kehidupan sangat selesa, hingga kita lupa.
Tak apa. apa boleh buat. Memang inilah yang ingin diterapkan kepada kita.

Mungkin puisi berusia setengah abad ini, mampu membawa kalian pada waktu di mana menjadi pelajar adalah perkara paling baik seluruh dunia.

Mahasiswa-Usman Awang

Mahasiswa dari kota tanah air
bangunlah!
angkat matamu dari buku
lampaui dinding lampaui tembok
semua menunggu
mengajakmu bersama ke tengah jalan raya kota.

Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
sebaris dengan kami
para buruh dan petani di jalan sungai besi
sederap belajar dari hidup berani

Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
atau bersamanya berjalan ke parlimen
kerana tenagamu dengan ilmu di dada
akan merombak erti hidup sebuah negara.

Usman Awang, September 1961

p/s: adakah mereka ini pejuang? bagi saya...ya!

jangan kalau-kalau

apakah rasanya pabila melihat karya sendiri diterbitkan?
apakah rasanya pabila melihat karya sendiri ditayangkan?

kalau saya...
saya segan secara terangan.
malu kalau-kalau karya kecil itu diperbanding
dengan karya-karya besar yang utuh jiwanya.

kalau saya...
saya segan secara terangan
takut kalau-kalau karya saya tidak sampai
dengan jiwa saya yang sentiasa membesar

walaupun saya sentiasa mahu menjadi
sang oedipus yang berkenala serata dunia
dan memecahkan teka-teki tentang diri sendiri
daripada mahkluk singa berkepala manusia
kemudian kembali semula ke tanah air
mengalahkan raja laius yang teguh itu.

mungkin ada kebenaran kisah lama
tentang lipan yang hebat berdansa
berhenti pabila kura-kura
menanya kaki mana yang digunakan pabila menari

walaupun dunia ini perlu banyak fikir
namun yang lebih penting adalah BUAT.

1529110609
dibipi
orang tua-tua sudah bilang
jangan meludahi langit
pasti kan jatuh semula
ke dalam mulut mu

orang tua-tua sudah bilang
hati-hati menunjuk orang
pasti yang tiga jari
menuding ke pada mu

orang tua-tua sudah bilang
dunia ini dipinjam dari anak
pasti apa yang terjadi besok
berpunca dari dirimu hari ini

kau bilang duniamu harus sempurna
sehingga anakmu berhenti jadi pemimpi
TAKUT kalau-kalau GAGAL.

suatu masa kau pernah
menafikan hak
setelah anak itu bekerja
untuk impiannya

hari ini hak itu
mempertikaikan dirimu
setelah kau lebarkan anganmu
untuk dirimu

kau tak perlu menjadi aku
untuk tau
mimpi dicantas
rasanya apa

kita tak perlu menjadi hindu
untuk memahami apa yang dimaksudkan karma

aku ketawa berdekah-dekah di sini
melihat kegagalanmu
kerana aku sakit schadenfreude


kah...kah...kah



p/s : aku simpati padamu, teman-teman. namun apa daya, rasa yang lagi satu ini sangat mendominasi.

puisi cuma

tidak sempat menulis, ataupun mungkin banyak sangat yang perlu ditulis, membuatkan saya tak tertulis. Saya akan kembali semula, pada waktu yang ditetapkan. Tidak lama. Sementara, saya hadiahi puisi ini.

langit masih mendung lagi
malam ini
cinta hadir lagi
cinta hadir lagi
di saat-saat kesepian

rembulan masih menyinari lagi
malam ini
bahagia bertandang lagi
bahagia bertandang lagi
di celah-celah kegelisahan


bintang tetap sembunyi lagi
malam ini
cinta itu gelisah
begitu gelisahnya cinta
di tengah-tengah kesepian
mengapai harapan

05042009 1250am

abang

entri ini individualistik sifatnya. tentang bagaimana merumuskan (dalam masa kurang 5 minit) rasa menjadi seorang abang,

kami memikul tugas ini

dengan rasa yang mekar
kerana kami sayang akan kita
walaupun adakala tanggungjawab ini
berubah menjadi beban
kami tetap teruskan

hidup bagai jejarum masa
tak bisa diterbalik

kami,
yang menerima amanah
sebagai seorang abang
meski tak sehebat ibu
ataupun secekal ayah
kami juga punya rasa
gembira bila kalian jaya
sabar bila belum masanya

menjadi yang tertua
adakalanya
ia seperti rahmat
adakalanya
ia seperti sumpahan
bagai si tuah
tangan terikat di langit
kaki terpasung di bumi
kengkadang
cinta harus diketepikan
kengkadang
cita harus dipendamkan
sementara impian
sering menjadi angan-angan

air akan terus mengalir
namun ia tak sempat memilih
menjadi jernih atau yang keruh

adik,
bila kalian sudah rasa sangsi
pada kami
ingatlah pada yang dua
bila kalian sudah rasa lelah
dengan kami
pandanglah wajah yang dua

kami jarang sekali berharap
walau redha kami bukan keramat
kami tetap boleh kehilangan rasa

090209-0359
pandan indah

p/s: menjadi abang bukan mudah. banyak yang perlu dikorbankan. tapi ianya bergantung pada jenis abang yang kamu pilih.

Jiwa Terbelah 100

Ini entri ke SE-ratus.

makanya, ia entri yang istimewa. Sekurang-kurangnya bagi saya.

Siapa sangka,jika kita seorang yang versatile,multi-purpose person ataupun mempunyai minat dalam banyak cabang, semakin sukar untuk memilih. Minat asas saya cuma satu, ingin berjaya. Namun kera tercampak dalam bidang seni, saya terpaksa mengikut arus...mungkin buat seketika.

Minat terhadap bidang persuratan, membuatkan saya kepingin menjadi penulis terkenal. Namun cabang penulisan yang luas membuatkan membuat pilihan itu sesuatu yang perlu diteliti dengan begitu rinci sekali.

Aku suka puisi
mampukah aku, Usman Awang?
Aku suka memerhati
mampukah aku Pak Samad?
Aku suka puitis
mampukah aku Rosli Khamis?
Aku suka filem
mampukah aku,Nasir Jani?
Aku suka masak,
mampukah aku,Jamie Oliver?
Aku suka blog,
mampukah aku, Geng Jurnal?
Aku suka foto,
mampukah aku Candid Syndrome?
Aku suka kritik,
mampukah aku, Ku Seman?
Aku suka novel,
mampukah,aku Ramlee?
Aku suka berontak,berkelana,bersosial,
mampukah aku Bro Isham?
Aku suka melodi,berfalsafah,berfikir
mampukah aku,sifu?

Jika semua aku mampu,
apakah yang terbaik itu akan
berbicara denganku
dan berkata
"Kau bukanlah terhebat
namun kau terbaik dalam apa yang kaubuat"

Saya sukar membuat pilihan,kerana biasanya pilihan memilih saya.
Ini entri ke-100. Terima kasih kerana menyokong saya. terutama yang namanya sentiasa melekat di blog ini.

p/s: skrip pertama kau yang telah ditelefilemkan tahun lalu,akan ditayangkan sekali lagi, dibawah slot yang terbaik dari rtm", kata ibu. Kami ketawa. Begitu juga teman-teman.

kosong

aku masih saja dalam sunyi
biarpun aku punyai teman,
yang di dalam temanku ada taman-taman
dan di dalam taman-taman yang ada di dalam temanku
ada aku

aku masih mencari-cari
akar rasa aneh ku ini,
mengapa perlu mengeluh pada langit?
mengapa perlu menghambur pada bumi?

hati aku ini sudah sarat dengan rasa cinta
serta sayang yang sentiasa bertali arus
tapi hati aku..atau lebih tepat
secara jasmaniah
jiwa aku masih saja sering KOSONG


1836-08042007
Apartment p.perdana


p/s: puisi biasa ini telah saya dapatkan pandnagan dari seorang penyair luar biasa, A.Ghaffar Ibrahim. Makanya, ia tak kosong lagi.

tanpatajuk

kamu yang duduk di situ
dan kemudian berlari
teruskanlah berlari
sepantas yang kamu mahu
bukankah sudah kukatakan
kau bersembunyi dimana pun
kebenaran takkan pernah lelah

carilah diri kamu di puncak gunung
carilah diri kamu di jurang mariana
kutiplah jiwa kamu di mana pun
kamu takkan ketemu

bukankah sudah kukatakan
kamu tak pernah melihatnya dalam diri

181008-1024
p.perdana

p/s: kalau terus berlari, kalian semakin lupa jatuh

Jatuh

Selalu jatuh? atau anda adalah salah seorang insan yang sentiasa jatuh di dunia ini? teringat nostalgia semasa kecil. Semasa zaman bayi, zaman mula ingin mengenal dunia, zaman belajar bertatih. Kita sering jatuh. Sering juga kita menangis. Kemudian bertatih lagi dan menangis lagi. Kala itu, jiwa kita yang mentah, yang belum dinodai rona hitam, sebenarnya kuat. Kala jiwa kecil kita sedang berkembang hebat itu jugalah, 2 orang insan, yang kita kenali sebagai ibu dan ayah akan sentiasa di sisi kita. Suapaya bila kita jatuh, kita akan mampu bangun, supaya jiwa kita tak takut berkembang lebih besar.

Zaman kanak-kanak kita lalui dengan penuh keceriaan. Jatuh itu ceria. Nangis dalam ceria. Pada zaman ini, jatuh itu hanya sekadar jatuh. Saya pernah fikirkan, mengapa orang dewasa jarang dilihat jatuh. Bagaimana agaknya rupa orang dewasa apabila jatuh. Seperti kanak-kanak kah?

Zaman kanak-kanak berlalu pudar. Menginjak pula zaman remaja. Zaman yang mengenal makna jatuh. Saham jatuh. Jatuhnya sebuah kerajaan. Jatuh hati. Dijatuhi hukuman. Besar makna jatuh ketika ini masih kecil. Ini kerana, walaupun kita semakin jauh dengan ibu dan ayah, entiti-entiti baru mula mencorakkan kita. Itu adalah kawan-kawan. Kita sama seperti kawan-kawan. Kita corakkan mereka, dan mereka corakkan kita. Umpama mencelup berus poster colour yang mempunyai sisa warna biru ke dalam botol poster colour bewarna kuning.

Zaman mengharungi dunia sendiri, makna jatuh semakin besar. Maka terhurailah sebab mengapa orang dewasa takut akan jatuh. Pengetahuan tentang sebab dan akibat semain berkembang. Bukan seperti bayi,kanak-kanak mahupun dewasa. Ianya ibarat. kita mengetahui teori kewujudan alam semesta. Semakin banyak kita tahu, semakin besar ketakutan kita. (atau takjub) Makna jatuh itu, wujud apabila kita bangun, Dan itulah nikmat sebuah kejatuhan.

aku sering jatuh
di tempat sama
hampir setiap hari
walau cuba kulari
namun ibarat
lohong hitam
ia menarikku
bukan bodoh
tak juga sesal
kerana nikmatnya

p/s : terima kasih, sahabat. Jangan risau tentang saya. Saya masih mampu senyum

Bujal 2

Bulan Ramadhan-al mubaraq yang lepas, saya sempat mencipta sebuah sajak. Bujal. Diinspirasi dari hasil observasi terhadap kehidupan. Sajak itu yang juga telah saya letakkan di dalam blog ini (klik sini) memberi satu makna yang besar bagi saya. Oleh itu, sajak itu telah saya tambah untuk menghasilkan jalan cerita yang lengkap. Cerita tentang pengorbanan di Ramadhan al-Mubaraq


1

semakin matang peredaran masa

semakin rumit pemikiran manusia

bulan sudah sarat dengan cahayanya..

maka pada satu ketika

lahirlah sang anak bulan

saya sebagai penyampai mohor Sang Raja

pemimpin alam langit-bumi

mengumumkan,ujian bagi umat terpilih

akan bermula besok

2

bujal menyarungkan baju putih

dililitkan bersama selendang putih ayah di leher

berderap kaki menari

menuju irama qudus

hayal ala solah

hayal ala falah

nikmat ramadan dikucup

bulan baroqah membawa berkat

berkat bulan membawa rezeki

rezeki takkan datang bergolek dan tak juga melayang

ramadhan bukan bererti berhenti berjuang

ramadhan ertinya rela bekorban

3

adik...jaga ibu kita adik

abang keluar untuk mencari rezeki

untuk kau, untuk ibu

buat kita belanja heri raya nanti

adik jangan takut bersama ibu

di mata ibu, ayah masih ada

ibu tidak gila, dia cuma terlalu rindu

sama seperti kau yang rindukan

jasad arwah ayah kita yang entah di laut mana

4

panas terik mentari bukan penghalang

setitik peluh yang berlinang di ubun-ubun Bujal

bererti sejuta kebahagiaan akan dia rasakan

syawal akan menjelang tiba

malam ini malam yang tujuh akan datang

menyembunyikan malam pertemuan sang kekasih

5

keesokannya di dada-dada akhbar:

musim harga barang naik lagi

melambung,melonjak

tinggi hingga tembus siling

bergejolak, berkocak

nasib si miskin tak dipeduli

dan terus bergelumang dengan kemiskinan

dan kaya akan berenang terus dengan duit

hingga mati lemas

6

kita ini golongan penggerak ekonomi negara

golongan tani, buruh, nelayan dan peladang,

terus dihimpit,

terus terdesak

akibat cukong

tamakkan untung

8

suara kita harus lantang,

supaya didengar dan dipertimbang,

kita laungkan hak kita

di setiap lorong-lorong kota

bahawa kebenaran haruslah berpaksikan

pada keadilan

9

Bujal masih ingat dahulu,

Pesan dari ayahnya,

Politik itu lumpur,

Namun jika terpaksa

Jangan sesekali berkata tidak

Dan jangan terusan-terusan lupa

Politikus umpama kucing hitam

Kukunya yang tajam sentiasa tersembunyi

10

adik jangan risau,

baju melayu merah teluk belanga

sudah abang dapatkan untuk adik

bila adik bangun nanti cuba lihat di bawah bantal

adik...jaga ibu kita adik

abang telah mendapat tiket perjalanan

ke taman keabadian

abang takkan pulang syawal ini

beritahu ibu

abang meyesal tak pernah cium pipinya

0255-29092007 & 1425- 10092008


(ini bukan Bujal yang sebenar mahupun adik Bujal. Sekadar gambar hiasan)

ada yang tiada

ini puisi. bukan puisi hatiku ataupun hatiku puisi. ini puisi yang tajuknya seperti tajuk puisi.

ada resah di hujung rasa
ada rasa di hujung resah
rasa resah yang tak sudah-sudah

ada kesal di dalam hati
ada hati di dalam kesal
hati kesal yang tak mati-mati

ada lara di pangkal jiwa
ada jiwa di pangkal lara
jiwa lara yang tak putus-putus


semua ada
mana ada
tempat kulari.


0222-310708

p/s: ini puisi tentang rasa sesal kerana membuat keputusan yang sebaik-baiknya. hidup memang begini.

senja


senja

Satu senja
Kulihat
seorang ibu
Memanjakan
anaknya
Kuingin
lihat semula
Anak itu
memanjakan
ibunya
di usia senja


07022008

segamat

p/s: aku semakin hilang arah ataupun sudah bertemu arah. aku masih tak pasti.

untuk hari ibu

2 hari lepas,aku dapat sms dari adik

mer..nak bagi mama apa eh,hari ibu ni? aku cadangkan jubah..tapi tak cukup duitla

aku terkijut. Seumur hidupku,tak pernah aku bagi hadiah berbentuk material kepada ibuku. Memang sudah terdidik untuk tidak menghadiahi sebegitu. Atau mungkin juga kerana tak pernah ada duit lebih. Dan aku baru perasan, aku tak pernah buat puisi untuk ibuku. Bukan kerana apa, setiap kali aku membaca puisi dari mana media cetak, aku tak pernah puas dengan ungkapan yang digunakan untuk mendefinisikan kasih kepada ibu. Kadangkala klise hingga aku rasa tak perlu. Namun lirik yang dibuat Allayrham Loloq, untuk lagu Bonda memang mengesankan jiwa aku.

erm..tunggu aku balik minggu depan

aku jawab ringkas pada adikku. Dan tiba-tiba aku terilham membuat puisi untuk ibuku. Mungkin akan kuhadiahkan kepadanya.

Puisi Untuk Ibu

tika aku mula bertatih
mengenali dunia yang perih
jiwaku sering menjerit rintih
kau tunjukkan jalan kasih

jauh aku berkelana
mencari tujuan nyawa
kau sentiasa disana
membimbing dengan sebuah doa

ibu
biar kurempuh dunia ini sendiri
dan kau hanya perlu memerhati
telah lama kau rasa disakiti
kini biar aku pula memahami

ibu
ini bukan sekadar janji
seorang anak mencari diri
meskipun diri mampu berlari
syurgaku kausimpan hujung kaki

kau sering mengilhami
memupukku menjadi insani
sungguh kau bidadari
anugerah tertinggi kumiliki

ibu,
doakan kembaraku mencari diri


0252-30042008
p.perdana

p/s: bonda,akhirnya terbuka juga rahsia tangisan dan gurindam keramat kasih sayangmu.

taridra 2 dasawarsa

taridra 2 dasawarsa

teriakan pertama takkan dilupakan si ibu
tangisan akan dikongsi dengan si bapa
kelahiran yang dinanti-nanti
kerana yang dunia terdesak juga menanti

ini tarian aku
ditemani irama balada
dari ibu-ayah-adik
dari saudara akrab
yang sentiasa mengharap
agar mereka berjaya memanusiakan seorang manusia

bersama dendangan ini
aku menari bersama sahabat
yang lama berganti baru
yang penat berganti semangat
yang lemah berganti kental

terkadang aku menari sumbang
jauh dari irama balada
terkadang aku menari songsang
tak ikut irama balada
mahu tukar selera kerana sahabat

irama seperti memahami aku
lagunya ditukar mengikut rentakku
aku mula berdrama
dalam dunia yang paling halus
dan kotor
(dunia seni)

setelah 2 dekad
aku menari dan berdrama
membentuk satu taridra 2 dasawarsa
dan aku akan terus sahaja menari
dengan rentak yang ditentukan-Nya

apakah skrip aku seterusnya?
apakah tarian aku selepas ini?

1942-05042008
p.perdana

Sajak Ayat-Ayat Cinta

Tuhanku,
Aku merasa kerdil berjalan di tanah mu ini,
Cintaku pada mu telah memalukan aku,
Aku sedang membaca sebuah novel,
Kemudiannya hatiku bergetar-getar ingin menangis,
Kisah pemuda yang sangat mencintaimu,
Dan kau telah anugerahkan dunia kepadanya

Tuhanku,
Jika watak itu benar-benar wujud,
Aku tak tahu dengan apa lagi,
Akan ku ungkapkan rasa malu ku,
aku yang sentiasa sahaja begini,
Tak pernah berusaha mengenal mu,
Tapi kau tetap sahaja,
Izinkan aku memijak bumi mu,
Aku yang tak pernah mencari mu,
Namun kau sering mengingati ku,

Penyesalanku tak terbutirkan,
Izinkan aku sujud kepada mu.

184520032008
kl-jb

NOTAKAKI: sajak ini terlahir sejurus aku membaca Ayat-Ayat Cinta karya Habiburahman El-Shirazy. Syukur,novel ini telah diangkat menjadi filem.

di suatu ruang.......

di suatu ruang
di malam hari
di puncak bukit

di satu ruang
2 manusia berpegang tangan
melafaz cinta berjanji setia
berpegang tangan melihat langit
kemudian bercumbu
2 manusia itu lelaki

di satu ruang
1 manusia berhati hati
menyedut asap rokok ganja
dalam dalam dan lepas
kemudian tersenyum
manusia itu gadis baru cukup umur

di satu ruang
3 manusia asyik bergitar
mendendang irama keras
liriknya provokasi,reformasi,revolusi
3 manusia itu baru buka Kamus Dewan

di satu ruang
19 manusia leka menonton
siaran lansung bolasepak liga perdana inggeris
sambil meneguk coca cola
dan mengunyah kacang ngan yin
separuh dari manusia itu
tak perasan bola itu bulat

di satu ruang
1 manusia sedang memerhati manusia-manusia itu
selepas beberapa ketika
manusia itu menutup jendela
baring di katil kemudian tidur

di suatu ruang
di malam hari
di puncak bukit

013916122007

segamat

cinta gila

tiada detik yang tak kutempuhi
tanpa mengingati kamu
tiada jejak yang kutinggalkan
tanpa memikirkanmu

gila uda milik dara
gila majnun milik laila
gila tristan milik isolde
gila jehan milik mumtaz
gila romeo milik juliet
gila aku.....
adakah kau menyimpannya?


26022008-0245
p.perdana

Blogger Templates by Blog Forum