mencari magis raya 1

entri kali ini agak panjang. mungkin kalian tak suka membaca, tak membaca dan tak ingin membaca entri ini. mungkin juga kalian akan meninggalkan komen walaupun tak membaca. ya. saya tau itu. itu terpulang. kerana kalian juga memberi saya semangat untuk menulis. entri kali ini agak dokumentari sedikit. boleh dikira travelog. memang sengaja dipos selepas syawal.

ini kisah saya. kisah saya mencari magis aidilfitri yang telah saya mulakan sejak beberapa hari sebelum aidilfitri. malam-malam akhir aidilfitri. mungkin malam pertemuan sang kekasih (lailatul qadar) tersembunyi di sini. kembara saya bermula apabila saya menaiki keretapi untuk pulang ke kampung.

25 sept
menanti gerabak keretapi, tidaklah mengundang resah bagi saya. mungkin saya sudah galib dengan perasaan ini. namun ada rasa yang menujah saya. ya. keretapi/tren yang dia naiki,sepatutnya sama dengan saya. dan stesyen yang saya tunggu pun sama dengannya. dia adalah orang yang menjadikan saya selelaki sekarang. mungkin kerana dia, lahirlah amerzaman. namun kelibatnya tak kelihatan. ada keralatan di situ. maka lahirlah puisi ini.

senandung semalam memainkan iramanya,
tika aku masih mencari-cari
jawapan yang masih di alam ghaib,

kota demi kota diluncuri,
malam tujuh likur makin pekat,
satu hasrat berjuta impian harus tersebar, n
amun pernantian ini besar maknanya,
meski kekaburan kian meyelimut jiwa.

adakah aku yang semakin menjadi laki-laki,
perlu dan harus bersabar lagi
dalam perjalanan ini
atau
aku patut menjejaki kesan tapak kakiku?
atau
aku harus mendengar dari kau
yang enak berbaring di tilam empuk itu berkata
yang kita ini bukan dalam tren yang sama

0115-26092008
senandung semalam
kl-kajang-segamat-singapura

pada malam itu sepatutnya ada magis yang berlaku. namun mungkin ada sesuatu yang menghijabnya. dia yang tau.

26sept.



kembali ke pangkuan keluarga. dan ini adalah bulan ramadhan. semenjak berusia 10 tahun, setiap kali ramadhan, saya pasti akan berniaga. ada kala saya menjual nasi beryani dan nasi ayam. adakala saya menjual kuih-kuih raya. adakala saya menjual kurma. adakala saya menjual air. adakala saya menjual roti john dan mi rebus. kali ini saya membantu keluarga menjual rojak asma dan nasi ambang. masih lagi dalam suasana mencari di mana sembunyinya magis aidilfitri.
saya mulakan kerja jam 9pagi dengan memasak bahan untuk rojak. pada waktu petang, jam 3 petang saya akan terpacak di bawah khemah bazar ramadhan segamat. oleh kerana saya gerai saya mengahdap pasaraya menjual kain yang besar, saya dihiburkan dengan muzik dari kedai tersebut. sayangnya kedai ini tak memutarkan lagu raya. lagu yang diputarkan hanyalah biar betul dari akar,retak dari ella, kacap terlabik dan cinta dewa-dewi oleh spider. dan beberapa lagu lagi yang diulangdengar. hal ini sedikit sebanyak mengurangkan resah saya terhadap ketibaan syawal. tak sama seperti kanak-kanak dahulu. ketibaan syawal adalah sesuatu yang mengujakan. mungkinkah magis aidilfitri itu datang bersama dengan dendangan lagu-lagu raya?

tak lengkap aidilfitri tanpa membeli-belah. malam itu saya bersama keluarga (saya menemani ayah dan ibu serta 6 orang adik) membeli-belah baju raya. yang berasa gembira ketika ini tentulah wanita dan adik-adik. bagi saya, situasi ini sudah imun dengan saya.malam itu beratus-ratus ringgit habis untuk membeli-belah. ini pembaziran? tidak. kerana pakaian yang dibeli akan dipakai sepanjang tahun hingga ke aidilfitri depan. kira waktu inilah satu-satunya waktu kami mengganti pakaian baru selain semasa hendak naik sekolah.kerana aidilfitrilah,kami membeli pakaian. mungkinkah magis aidilfitri itu datang dalam atmosfera membeli belah?

30september
hari terakhir selepas hari-hari terakhir penat lelah. hati terdetik "kau penat ya! kalau kau nak tau inilah kerja mama,papa dan adik-adik kau sepanjang kau belum balik". ya. hari terakhir ramadhan. sebagai seorang yang semakin laki-laki, lebaran bukanlah sesuatu yang huha-huha. maka hari terakhir puasa membuatkan jiwa tersentuh. mungkin sekadar katarsis. lebaran bukalah macam lagu suasana hari raya dendangan sanisah huri maupun seloka hari raya. lebaran besar ertinya. macam lagu salam dunia.
mereka yang dilanda derita redhalah harimu kan tiba cahaya kekasih yang benar menghapus segala api kemarahan.

malam raya,jika sepuluh tahun dulu, bukan begini sambutannya. adik-adik saya pun tak dapat merasa apa yang pernah saya alaminya. sepuluh tahun dahulu,suasana raya dipeluk. bunga api,pasang langsir,kemas rumah,masak,main kejar-kejar,bergurau..semuanya dilakukan dengan jiwa lebaran di rumah nenek. namun tak sekarang. mungkinkah magis raya menghilang?

p/s: entri ini bersiri. saya temui magis raya itu sebenarnya..ada sambungannya.

Blogger Templates by Blog Forum