BICARA POHON TUA PADA SUATU SENJA
09 May 2008 by amer zaman
i
Kedengaran bunyi enjin jentera-jentera di kota semakin rancak. Jalanraya bertambah sibuk dan sesak. Matahari siang mula merangkak-rangkak meninggalkan tanah di sini. Waktu khidmatnya sudah tamat. Kini syif diganti dengan bulan. Waktu peredaran masa inilah hal ini terjadi kepadaku. Biarkan kuceritakan dengan gayaku tersendiri.
ii
Semua ini bermula tika aku baru pulang dari bekerja. Kulalui sebuah jalan di pinggir kota itu. Jalan yang sunyi. jalan yang jarang dilalui. jalan yang layaknya untuk meletak barang-barang yang tak digunakan. Kerana di sinilah pihak DBKL meletakkan kereta-kereta buruk yang tersadai di tepi jalan di kota. Boleh dikatakan jalan ini adalah tong sampah bagi sebuah kota besar.
Aku terdengar suara mendayu-dayu. Kemudian teresak-esak. Kulihat kebelakang. Tiada sesiapa pun. Ku melangkah deras. Aneh. Suara itu semakin mendekat. Aku terdiam. Aku bukanlah berani. Sepatutnya aku berasa seram. Sepatutnya bulu roma aku meremang. Namun tidak kali ini. Aku seperti bersimpati terhadap suara itu.
"Anak..aku disini"
Suara itu sepertinya menujukan kepadaku. Aku menoleh. Ku dongak ke atas. Mataku melilau mencari arah suara itu. Tiada apa-apa.
"Di sini. Aku di hadapanmu"
Suara itu mula berhenti menangis. Namun nadanya tetap saja sayu.
"Buka matamu.Buka Hatimu"
Suara itu menyambung. Aku menoleh ke belakang. Dibalik semak-semak kelihatan sepohon pokok tua bergoyang-goyang. Benarkah apa yang kulihat. Dan anehnya, aku tak berasa seram melihat kejadian ini. Pohon ini besar saiznya. Batangnya bersaiz 1 pemeluk orang dewasa. Tinggi. Aku tak sempat mengukurnya. Dan yang kelihatan,hanya ranting-ranting tanpa daun.
Aku memberanikan diri.
"Kau panggil aku?"
Pohon tu tak menjawab. Rantingnya mengeluarkan bunyi ketika ditiup angin senja.
"Kenapa kau menangis pohon tua?"
Pohon itu terus berdiam. Aku perhatikan bentuknya. Rantinya yang tak berdaun menyebakkanku. Namun di batangnya,terdapat daun-daun hijau melilit. Tumbuhan parasit barangkali. Kulihat langit. Langit berhenti bergerak.
Tiba-tiba masa terhenti.
"Masaku tak lama lagi. Jadi dengarlah kisahku dan kau ceritakanlah kepada orang tentang aku"
iii
Aku dulu adalah sebatang pokok. Aku tak tahu bagaimana aku boleh terlahir disini. Ya...60 tahun lalu. Suasana di sini mendamaikan. Aku kelihatannya sangat membantu penduduk di kampung ini. Kampung Pohon Teduh. Inilah nama asal tempat ini. Bersempena dengan aku.
Ketika aku gagah dan muda, daunku merimbun. Aku dijadikan tempat perteduhan yang amat baik. Pada waktu pagi, burung-burung berkumpul di dahankau. Mengadakan mesyuarat. Ya. Tapi aku tak berapa faham bahasa burung. Namun kicauannya mendamaikan hati. Anak-anak gadi dirumah berhampiranku akan melayangkan perasaanya ke arahku,pabila mereka membuka jendela pada waktu pagi. Ketika matahari melunsur ke atas, golongan pekerja akan berehat dibawahku. Sementara menunggu waktu makan tengahari. Ada juga yang membawa bekalan dan makan beramai-ramai di bawahku.
Pada waktu petang, anak-anak lelaki akan bermain guli,gasing,getah dan selipar di bawah aku. Ya..permainan ini bermusim. Dan anak-anak perempuan pula bermain batu seremban, masak-masak dan kahwin-kahwin. Daun aku sering dijadikan menu masakan. Ketika matahari senja merangkak pergi, mereka akan meninggalkanku. Aku tahu besok mereka akan kembali. Waktu malam aku,tidaklah sunyi. Aku akan ditemani ayam-ayam kampung yang bertenggek untuk tidur.
Namun tak semua yang indah akan kekal anak muda. Musim berganti musim. Daun-daun aku mula gugur sedikit demi sedikit. Itu tak menggugahkan semangatku. Padaku, setiap yang muda akan tua. Begitu jua denganku. Namun musim yang seterusnya, daunku kembali merimbun. Dan itulah kali terakhir aku tersenyum. Ini adalah kerana seorang gadis.
Tak kusangka, gadis yang kuberikan khidmat setiap hari memperlakukan aku begini. Gadis yang sudah belajar tinggi dan menjadi arkitek yang berjaya telah memperluaskan rumahnya keluarganya. Dan rumah itu hanya dihadapanku. Setelah memperluaskannya, tumbesaran aku terbatas. Aku sukar bernafas. Aku sesak. Ini kerana akarku tak lagi bebas menjadi galian.
Kemajuan telah membunuhku wahai anak. Sekarang kau pulanglah. Akan kuceritakan kisah aku yang lebih dramatik besok hari. Tentang bagaimana aku boleh jadi begini.
iv
Begitulah cerita pohon tu itu kepadaku. Aku ceritakan padamu dengan gayaku sendiri. Tak dapat kusambung kisah ini. Kerana pada besok harinya, kulalui tempat yang sama,pohon tua sudah tiada. Yang tinggal hanyalah tunggul dan ranting.
amerzaman
p.perdana
8 mei 2008