Saya Tiada Di Sana

Saya sepatutnya menulis pasal Papadom dahulu. Tapi filem ni cuba mencabar saya.


Pada mulanya ada seorang budak lelaki Afro-Amerika,Woody Guthrie ( (lakonan Marcus Carl Franklin) berumur 11 tahun membawa sebuah beg gitar bertulis "This Machine Kill Fascist" menaiki keretapi dan bercerita tentang sesuatu yang berlaku(dialaminya?) lebih 10 tahun yang lalu.

Kemudian seorang lelaki (kita kenal dia sebagai pelakon Pefume- Ben Whisaw) dalam bilik soal siasat dan memberitahu namanya Arthur Rimbaud.

Kemudian terdapat sebuah dokumentari tentang seorang penyanyi lagu rakyat popular tahun 60-an, Jack Rollin (lakonan Christian Bale) yang diceritakan oleh Alice Fabian (lakonan Julianne More)

Kemudian dalam dokumentari tersebut ada sebuah filem (dalam filem) tentang Jack Rollin tadi yang dilakonkan oleh Robbie Clark ( lakonan Heath Ledger). Watak Robbi ni kemudiannya dikembangkan.

Kemudian seorang lelaki membuat persembahan dengan gitar elektrik di London Jazz & Folk Festival (baca: gitar elektrik = festival jazz dan folk?). Persembahann beliau telah mengundang kemarahan penganjur dan festival tersebut. Lelaki itu adalah Jude Quinn lakonan Cate Blanchett (ya, dia pegang watak lelaki.)

Kemudian seoang lelaki (lakonan Richard Gere) dengan pakaian ala western (koboi) terbangun dari tidur apabila anjingnya menyalak. Lelaki ini hidup dalam persembunyian dan nama wataknya adalah Billy The Kid (ya koboi penembak cepat legenda tu)

Dan semua watak dan pelakon ini adalah reinkarnasi watak Bob Dylan seorang pemuzik tersohor pada tahun 60-an. Boleh dikatakan yang beliau juga penyair -melalui interpretasi Todd Haynes .Siapa tak minat Bob Dylan pada zaman tu, bahkan M.Nasir sendiri terinspirasi dari muzik Bob Dylan. Bagi yang tak kenal siapa Bob Dylan, boleh google.

Pada mulanya saya menyangkakan ini adalah sebuah filem biografi tentang Bob Dylan. Namun, setelah menontonnya ianya meleset dan mengecewakan saya (sebab ingin tonton sesuatu yang ringan) . Ternyata filem ini memang absurd (dari segi bahasa) dan surreal ( dari segi filem) . Mungkin sebagai orang biasa, dari segi memngapresiasikan seseorang, menghasilkan biografi adalah cara yang baik. Tapi Todd Hayne fikir lebih dari tu. Dia memecahkan Bob Dylan kepada 6 orang dengan karekter yang sangat lain. Haynes membelahkan jiwa Bob Dylan sebagai fake (Woody), poet (Arthur), prophet (Jack) , superstar (Robbie) outlaw dan dirinya sendiri (Jude) Bagi saya, ianya brilliant!

Kesemua watak dalam filem ini hidup dalam tahun 60-an dan cerita dalam filem ini digerakkan dengan sejajar, dan sebagai penonton kali pertama saya tetap pening. Bahkan lagi pening dari tonton Memento yang non-linear tu. Bayangkan kisah enam karekter yang tiada kaitan hendak digerakkan dalam durasi 120 minit. Filem ni tak seperti Crash, Babel atau Amorres Peros yang tergerak kerana sebuah peristiwa, Im Not There ini bergerak berdasarkan watak Bob Dylan yang dilahirkann semula (reincarnation) oleh Haynes. Sudahlah tidak kenal sangat dengan Bob Dylan, ditambah pula dengan watak reincanation pengarah. Tapi faktor sinema dan pelakon membuatkan saya menonton terus dan plot cerita yang menarik adalah penyelamat dan sesungguhya muzik Bob Dylan itu sendiri adalah kiblat filem ini. Haynes bagaikan sudah mengenali Bob Dylan dengan sangat rapat - tahap kawan-kawan saya istilahkan "kawan cium pusat."



Babak karekter Jude Quinn dan Arthur Rimbaud dijadikan hitam putih, bagi saya supaya penonton tak terlalu pening- bijak. Tapi kalau ada yang masih pening dengan imej art housenya, layan lagunya. Filem ini dikira musikal tapi bukan stail Bollywood, Moulin Rouge ataupun Dance in The Dark. Atau penonton boleh bermain dengan dialognya. Dialognya yang paling saya suka adalah "chicks can never be poets"-bukan sebab saya chauvinist tapi sebab hanya kerana ayat tu Robbie Clark dan isterinya (pelukis abstrak) bergaduh dan bercerai-berai. Dan tak lupa setiap dialog dalam babak Alex, ianya sangat ringkas, tapi dalam. Sangat elegan!


Dalam satu babak, yang pada saya sangat unik. Pengurus dan pembantu Jude Quinn menantinya untuk satu majlis khas. Kelewatan Jude merisaukan ramai orang. Secara tiba-tiba pop! Jude muncul dari kepulan asap dan bermain-main sambil bergolek dengan The Beatles Jude yang terlewat ni dipanggil pembantunya dan budak-budak Beatles tadi ucap sayonara. Todd Haynes dengan selambanya membuatkan Jude diserbu oleh satu keluarga yang juga peminatnya, manakala The Beatles tadi tiba-tiba dikejar hampir 50 orang yang entah dari mana. - sangat surreal! Haynes semacam berkata "Kau dan aku mungkin kenal siapa Bob Dylan tapi tu The Beatles! " - Ranggi kan?

Melihat lakonan Christian Bale memegang watak Jack Rollin- mengasyikkan, terutama apabila babak dia mengarut apabila menerima sebuah anugerah. Peran yang dimainkan Ledger juga bukan ditangani kosong - bagi saya dia ni memang berguru dengan Stanislavski dengan Brecht sekaligus. Ben Whisaw juga baik, walaupun hanya bermain dengan emosi wajah- apalah sangat watak ni bagi dia berbanding wataknya dalam Perfume, begitu juga dengan Marcus Carl Franklin- dia membawakan wataknya hingga saya sendiri keliru dengan umurnya. Richard Gere, biasa-biasa saja, memang stail dia. Todd Haynes membuat percaturan yang bijak dengan memanggil pelakon yang hebat dan dia mampu kawal. Tapi karekter Jude Quinn lakonan Cate Blanchett dalam filem ni yang paling menonjol. Cate bukan sahaja perlu menjadi lelaki, tapi dia perlu jadi Bob Dylan di era yang paling kontroversi- dan menakjubkan!

Bagi yang belum tonton, saya sarankan kenal Bob Dylan dulu kalau malas tonton banyak kali.

Blogger Templates by Blog Forum