Alam MUZik M.Nasir

Malam tadi, seorang amer zaman menemukan makna yang dicari. Dia tidak dihargai secara langsung. Atau terlibat dalam apa-apa majlis penghargaan. Dia hanya menghargai. Bahasa tingginya, mengapresiasi. Dan kerana dia menghargai sesuatu yang layak dihargai olehnya, dia merasa dirinya juga telah dihargai.

"Malam ini aku mengecapi sebuah eskapisme yang tiada tara. Aku telah memasuki sebuah alam lain. Alam yang membebankan aku dengan sebuah makna baru,dan menghilangkan beban dari duniawi. Alam muzik M.Nasir. Aku tidak ingat bila aku kenal dia. Mungkin 15 tahun dahulu, ketika Disember, ketika Tanya Sama itu Hud-Hud diumumkan sebagai lagu terbaik, sejurus kemudian, ibuku selamat melahirkan adikku. Mungkin juga lebih awal dari itu, sewaktu lagu Anak-Anak kita menjadi siulan.

Aku bukan dilahirkan untuk meminati segala jenis muzik. Pada tahun 2000, selepas mendengar rentetan peristiwa Konsert Gembala, Konsert Akar, Konsert Phoenix Bangkit, aku mula mengenali sosok ini. Perlahan-lahan jiwa aku meresapi dalam muziknya. Kaset Mentera Semerah Padi yang dibelikan ibuku, bagaikan sebuah kitab bahasa. Aku mempelajari kata-kata baru. Apokalips, Kersani, Raksa dan Andalusia. Tidak dapat aku nafikan, penulisan aku terpengaruh darinya dan juga Loloq. Sejak itu aku tidak berhenti mencari. Kisah Hud-Hud, kisah Andalusia, kisah Hamzah Fansuri dan kisah melayu sendiri. Di situ aku berjumpa Jalaludin al-Rumi dan beberapa penyair sufi. Mungkin kerana Loloq.

Proses pembelajaran aku terhadap kehidupan juga banyak dipandu oleh lagunya, liriknya mungkin. Persoalkan apa, dan aku akan kaitkan dengan teori lagu M.Nasir. Kedengaran aku begitu ekstrem dan lucu. Tapi apalah bentuk hiburan oleh seorang remaja seperti aku. Aku tidak mengagungkannya. Ini kerana lagunya memberi suatu keinsafan. dengarlah lagu Kepadamu Kekasih dan Salam Dunia.

Aku juga tidak menafikan yang dia bukanlah sempurna. Albumnya yang pertama, juga boleh aku kategorikan sebagai teruk. Bayangkan M.Nasir pernah menghasilkan lagu Mari Berdangdut. Namun dengan mendengar album itu, tahulah, yang dia juga seperti kita. Bukan dilahirkan untuk terus hebat. Perlu pencarian yang panjang, untuk melahirkan Saudagar Mimpi dan Canggung Medonan.

Malam ini, keterujaan aku menyerlah. Manunggu 9 tahun. Sama seperti 2 tahun lalu, kita aku menemuramah beliau di Luncai Emas. Aku memasuki, sebuah bangunan yang diberi nama Istana Budaya. Dengan seorang sahabat, yang aku tak tahu bagaimana hendak ungkapkan terima kasih. Muhsin. Kami memulakan kembara ke Alam Muzik M.Nasir.

Pembukaan dengan Gong Impian serta Di Balik Cermin Mimpi. Aku mula terawang.Satu demi satu. Rajawali, Bukalah Hatimu,Falsafah Cinta,Balada Seorang Teman, Langgam Pak Dogo, Hati Emas, Suatu Masa. Ternyata selepas Raikan Cinta, aku dan hampir separuh penonton telah memasuki alamnya. Mungkin penonton hari ke-3 adalah yang paling happening. Diikuti dengan Ada, Phoenix Bangkit dari Abu, dan Sahabat Gua aku menjadi seperti darwis gila berahi. Aku hairan, ketika awal apagi, aku terbaca review dari manggaonline yang mengatakan konsert itu mengantuk. Namun, mungkin sebab itu majalah mangga..apalah yang perlu aku hairankan.

Apokalips sepatutnya lagu terakhir, Namun sifu kembali semula dengan Hijab Kekasih, Juita Citra terindah dan Kepadamu Kekasih. Walaupun banyak lagu yang tidak dapat didendangkan, aku puas. Apakah mungkin kita akan bertemu dengan entiti sepertinya lagi?"


p/s: Saya baru menonton Crash, ternyata itu filem hebat.

Blogger Templates by Blog Forum