tunjuk peRASAan

ini kali pertama saya tulis selepas mengakhiri rutin yang sama setiap hari, selama 2 bulan pada bulan yang lalu.

Sememangnya banyak untuk diceritakan.
seperti bacaan puisi saya pada malam baca puisi rumah PENA (terima kasih untuk ratna), persembahan sahabat-sahabat dan saya di sebuah gig akustik (terima kasih untuk hann) dan juga teater intan yang tercanai yang menusuk jiwa (terima kasih untuk rafiq)

Saya sedang sibuk mencari ruang dan dana.
tapi sememangnya banyak cerita untuk dikongsikan. seperti betapa separa gembiranya saya apabila M.Nasir menangguhkan konsert 1wajahnya (saya tidak mempunyai wang yang cukup untuk ke konsertnya sementelah bahang alam muzik belum tamat lagi), saya juga agak berdukacita pabila Yasmin Ahmad telah pergi (hari kebangsaan dan raya tanpa karyanya?).

Beban untuk menjadi pemibikin filem menujah pada setiap inci pundak saya.
Tapi sememangnya saya hendak berkongsi rasa. Seperti rasa berbaloi membayar RM7 menonton filem Setem. Seperti rasa kehilangan sesuatu yang paling disayangi ( telefon genggam saya hilang akibat kecuaian- saya lupa saya bukan di Jepun)


***********

Semalam berlangsung sebuah perrhimpunan anti-ISA di ibukota. Internal Security Act ni mula ditubuhkan pada tahun 60-an, untuk menyekat komunis-pada mulanya. Sejak akta ini ditubuhkan, tak sedikit yang pernah ditahan- lebih daripada 10 600 orang.

Bagi saya, tiada sebab untuk saya menyokong akta ini. Ini kerana saya, yang sering membaca, tak terbaca tentang kepentingan akta ini lebih daripada keburukan. Walaupun akta ini tak ada kaitan dengan saya secara menyeluruh (belum pernah keluarga dan sahabat saya ditahan) keburukannya telah dapat saya selami dengan membaca sebuah buku bertajuk Dua Wajah, tulisan Dr Syed Husin Ali, bekas tahanan selama 6 tahun.


yang nak beli, boleh klik sini
yang nak simpan duit boleh klik sini

Dan untuk para demonstran, tabik dari saya. Apa yang kalian lakukan, ada yang mengatakan semacam ribut dalam cangkir cuma. Namun ribut dari rakyat di dalam cangkir sudah cukup untuk menyedarkan peminum-peminum kopi keselesaan di kafe berhawa dinigin. Bak kata seorang teman, ini bukan semangat rebel, tapi semangat perjuangan rakyat.

Saya?
Saya masih cuba jadi patriotik dengan memilih untuk membeli beras pilihan Bernas yang mana 31.36 peratus saham dikuasai firma pelaburan Hong Kong, Wang Tak Co. Ltd (Wang Tak)


p/s: tahniah untuk Wak Dol, filem pendeknya Filem Omah Cilikku Enek Kelambu (Rumah Kecilku Ada Kelambu) tersenarai dalam senarai pendek. Saya memang suka filem pendek ini.

Baca
ini- untuk ulasan filem
dan
ini - untuk senarai pencalonan Festival Filem Malaysia (FFM) ke-22

gagal,akhir dan mula

kadangkala bukan semua yang kita rancang itu berjalan lancar dan sempurna. Biasanya rencana kita tentang sesuatu akan tidak berjaya. Bukan kerana gagal merancang, tetapi lumrah kehidupan. Kehidupan yang kita alami, kita raikan saban hari sebenarnya mempunyai sesuatu yang lebih besar untuk kita.

Pada saya, jika kita gagal melaksanakan sesuatu yang dirancang, bukan salah kita secara total, namun kehidupan sebenarnya sedang merencanakan sesuatu yang lebih besar untuk kita. Dan gagal itu sebahagian daripadanya.

Bak kata orang pengakhiran adalah sebuah permulaan yang baru.


*******

empat tahun yang lalu, saya berkhidmat di sebuah hotel bertaraf 5 bintang di Johor Bahru. Menjadi kuli di bahagian banquet. Sebagai pekerja sambilan, saya bebas bekerja dengan bayaran mengikut jam. Satu jam RM 4. Pernah satu hari saya bekerja selama 19 jam. Kaya sekejap.

Saya juga pernah menjadi pembantu penyelia saya untuk menujukkan demonstrasi protokol penyediaan meja (protokol sebenarnya adalah satu bentuk pembaziran sahaja).Kegigihan (haha) saya diperhati oleh pihak atasan. Mereka meminta saya untuk bekerja sepenuh masa. Namun saya terpaksa tolak.

Tak kurang menarik di situ, saya berpeluang melihat gaya hidup masyarakat. Bagaimana golongan elit maraikan pekerjanya. Bagaimana pegawai kerajaan menjalankan kursus di hotel. Bagaimana canggungnya golongan rakyat biasa ketika di dalam hotel. Serta golongan yang kita harapkan akan membantu kita, orang Melayu berpesta di sebuah bar.

Mungkin kerana persekitaran hotel, yang mana biasanya menghalalkan cara. Saya berhenti. Ada rakan senior mengucapkan

"Percayalah, aku jamin, kau mesti balik semula kerja kat hotel"

Sejarah pada situasi itu menunjukkan betapa beberapa orang pekerja di hotel tersebut, kembali semula berkerja di hotel selepas berhenti. Maklumlah, siapa sanggup meninggalkan cengkeram keselesaan.

Ternyata perberhentian saya kekal hingga kini.

Dan esok, untuk sekian kalinya saya akan menamatkan khidmat separa sosial saya di sebuah intistusi pemerkasa bahasa Melayu. Dan seorang staf senior mengucapkan

"Percayalah...diorang ni pergi tak kembali"

yang buruk itu bagus

Semalam, dalam sebuah ujibakat yang saya hadiri secara rela paksa, saya dan rakan-rakan diajukan pendapat untuk meningkatkan kualiti filem kita. Pelbagai pandangan, yang sebenarnya benar belaka.

Saya secara tak sengaja (atau terlalu lama pendam dalam otak) telah menyatakan untuk memangkinkan penganugerahan filem kita, di taraf antarabangsa, kita perlu memaparkan budaya dan sisi-sisi hitam dalam negara kita.

Saya nyatakan hal tersebut adalah kerana, biasanya (bukan semuanya) filem yang mendapat pengiktirafan, biasanya membobrokkan perihal diri, budaya atau masyarakat. Contoh paling dekat adalah Slumdog Millionaire yang memenangi pengiktirafannya yang tertinggi dalam pesta filem beberapa bulan lalu. Filem itu ditentang oleh masyarakatnya sendiri kerana menggambarkan India secara marhaen (sangat tidak komersial). Begitu juga dengan filem Cyclo (1995) dari Vietnam. Kita juga telah menyaksikan betapa masyarakat luar menyukai filem kita seperti triologi Sepet oleh Yasmin Ahmad dan juga filem-filem independent yang sebaris dengannya.

Sebenarnya, pada suatu hari saya sangat terkejut. Kenyataan tentang menghasilkan filem yang memaparakan keburukan supaya memenagi anugerah, telah dinyatakan sevara lisan oleh David Teo (bukan akademik filem). Lihat ini.

Apakah dengan memburukkan (atau menunjukkan) sisi gelap kita, baharulah kita dapat berbangga dengan pengiktirafan antarabangsa ,seperti filem Taste of Cherry arahan Abbas Kiarostami (walaupun sinematografinya indah). Mengapa tidak, kan?

Bukankah kita sebenarnya seseorang itu lebih tertarik pada sesuatu yang buruk berbanding yang cantik. Contohnya, kita sedang duduk termenung di sebuah tasik dengan tenang dan sunyi, kemudian tenampak Megan Fox berjalan di depan.

Apakah cerita yang anda akan sampaikan kepada kawan anda tentang situasi itu?

Nanti.

Kemudian high heel gadis itu patah, dan secara anehnya, dia terjatuh ke dalam tasik.

Bagaimana? Mungkin peristiwa "jatuh" itu lebih ditekankan dan lebih mengesankan untuk diceritakan.

Berbalik pada menayang sisi-sisi gelap, semua suka akan hal ini. Ianya lebih kelihatan realis dan mempunyai kesamaan dengan kita (kebanyakan penonton filem bukanlah golongan atasan)

atau mungkin kerana definisi kebenaran, puji-pujian tentang kehebatan pada manusia zaman ini bersifat lebih artifisial dan kepura-puraan yang menjelekkan, oleh itu memaparkan sesuatu yang berlawanan adalah lebih indah dan segar.

update : lihat ini.

Cara belajar

Perhimpunan anti-ISA: Lima pelajar didapati bersalah

Mahkamah majistret Kuala Lumpur hari ini mendapati lima pelajar universiti bersalah kerana menyertai perhimpunan haram anti-ISA pada Julai 2001.Mereka masing-masing didenda RM3,900 atau tiga bulan penjara. Mahkamah juga menolak permohonan mereka untuk menangguhkan hukuman tersebut.

Majistret Hafiza Sauni, bagaimanapun, melepaskan seorang pelajar daripada tuduhan tersebut.Mereka yang didapati bersalah ialah Rafzan Ramli, Khairul Amal Mahmud, Ahmad Kamal Abdul Hamid, Nik Norhafizi Nik Ismail dan Zulkefle Idris - semasa pelajar universiti tempatan ketika itu.
Mereka telah digantung daripada meneruskan pengajian mereka mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti Act.

-dipetik dari Malaysiakini

Mereka bilang pelajar perlu belajar. Jangan melibatkan diri dengan politik. Saya tak pasti jika 5 pelajar ini terlibat dengan politik. Namun saya berpendapat mereka sengaja hadir untuk menujukkan pendapat mereka tentang akta tersebut. Saya tak tahu sama ada mereka ini suka berpolitik atau apa.

Tapi, tugas pelajar bukan sekadar belajar sahaja. Macam tugas penulis. Ada kerja lain yang perlu dibuat bagi membuktikan diri. Dalam kes ini, pelajar perlu menyuarakan pendapat. Kalian boleh baca sejarah, dan kalian akan dapati di mana pelajar telah menggoncang ketakadilan hingga runtuh menjadi puing-puing. Suara orang muda.Tokoh-tokoh pejuang itu mungkin sama umur dengan kalian,bahkan lebih muda.

Mungkin sekarang kehidupan sangat selesa, hingga kita lupa.
Tak apa. apa boleh buat. Memang inilah yang ingin diterapkan kepada kita.

Mungkin puisi berusia setengah abad ini, mampu membawa kalian pada waktu di mana menjadi pelajar adalah perkara paling baik seluruh dunia.

Mahasiswa-Usman Awang

Mahasiswa dari kota tanah air
bangunlah!
angkat matamu dari buku
lampaui dinding lampaui tembok
semua menunggu
mengajakmu bersama ke tengah jalan raya kota.

Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
sebaris dengan kami
para buruh dan petani di jalan sungai besi
sederap belajar dari hidup berani

Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
atau bersamanya berjalan ke parlimen
kerana tenagamu dengan ilmu di dada
akan merombak erti hidup sebuah negara.

Usman Awang, September 1961

p/s: adakah mereka ini pejuang? bagi saya...ya!

jangan kalau-kalau

apakah rasanya pabila melihat karya sendiri diterbitkan?
apakah rasanya pabila melihat karya sendiri ditayangkan?

kalau saya...
saya segan secara terangan.
malu kalau-kalau karya kecil itu diperbanding
dengan karya-karya besar yang utuh jiwanya.

kalau saya...
saya segan secara terangan
takut kalau-kalau karya saya tidak sampai
dengan jiwa saya yang sentiasa membesar

walaupun saya sentiasa mahu menjadi
sang oedipus yang berkenala serata dunia
dan memecahkan teka-teki tentang diri sendiri
daripada mahkluk singa berkepala manusia
kemudian kembali semula ke tanah air
mengalahkan raja laius yang teguh itu.

mungkin ada kebenaran kisah lama
tentang lipan yang hebat berdansa
berhenti pabila kura-kura
menanya kaki mana yang digunakan pabila menari

walaupun dunia ini perlu banyak fikir
namun yang lebih penting adalah BUAT.

1529110609
dibipi
orang tua-tua sudah bilang
jangan meludahi langit
pasti kan jatuh semula
ke dalam mulut mu

orang tua-tua sudah bilang
hati-hati menunjuk orang
pasti yang tiga jari
menuding ke pada mu

orang tua-tua sudah bilang
dunia ini dipinjam dari anak
pasti apa yang terjadi besok
berpunca dari dirimu hari ini

kau bilang duniamu harus sempurna
sehingga anakmu berhenti jadi pemimpi
TAKUT kalau-kalau GAGAL.

suatu masa kau pernah
menafikan hak
setelah anak itu bekerja
untuk impiannya

hari ini hak itu
mempertikaikan dirimu
setelah kau lebarkan anganmu
untuk dirimu

kau tak perlu menjadi aku
untuk tau
mimpi dicantas
rasanya apa

kita tak perlu menjadi hindu
untuk memahami apa yang dimaksudkan karma

aku ketawa berdekah-dekah di sini
melihat kegagalanmu
kerana aku sakit schadenfreude


kah...kah...kah



p/s : aku simpati padamu, teman-teman. namun apa daya, rasa yang lagi satu ini sangat mendominasi.

Mengapa ianya dinamai tag?

Mengapa ianya dinamai tag? sangat PPSMI kan.
Baiklah muhsin, ini jawabnya.


1. Apa pula slogan korang kalau korang jadi PM?
"APA YANG PENTING?! KERJASAMA....!!

2. Pilih satu artis yang korang nak jadi PM dan lagu beliau yang sesuai dislogankan?
M.NASIR la...lagu mari berdangdut....kalau serius.. Phoenix Bangkit

3. Najib menggelarkan dirinya PM Rakyat. Korang pulak PM apa? Alasan?
PM COOL... tiada alasan sebab rakyat yang akan gelarkan.

4. Industri yang korang tumpukan bila jadi pm. Alasan?
INDUSTRI SENI la.... Separuh belankawan ditumpukan untuk bidang seni. Dalam masa 10 tahun, confirm balik modal.

5. Benda yang korang nak buang@tambah kalau jadi PM?
Tambah tren bullet dari utara ke selatan. Buang tambang pengangkutan awam, naikkan cukai jalan.

6. Model negara mana korang nak buat affair dan kemudian letupkan? Kenapa?
model mitshubishi evo dari jepun yang baru. Saja nak tau rupe dier meletup. (betul ker jawapan ni?)

saya serahkan soalan ini kepada
AAH
Jaja Kadir
Ratna Kesuma
Wnorhaslina
Rudy Bluehikari

Kisah Bujal kerja pejabat

Entri lalu adalah mukadimah kepada entri ini.

Bujal adalah seorang remaja yang baru dapat kerja. Dia masih muda, mentah namun mempunyai semangat dan cita-cita tinggi dan seringkali kelihatan begitu ambitious. Cerita ini berlaku sebelum Bujal bekerja di sebuah cafe. Dan beliau bekerja di sebuah pejabat. Kerjanya mudah, datang ofis tepat masanya, buat kerja yang diperintahkan, seperti mengfotokopi, mencetak , menyelenggara alatan elektronik dan menyusun fail-fail. Semasa menerima kerja ini, tertulis jawatan sebaga Administrative Manager, yang kedengaran agak baik.

Bujal bukanlah bodoh mana. Dia pernah belajar dengan Lintang,Kahlil Gibran, Augosto Comte, Orson Welles, Hishamuddin Rais dan Ibrahim Hussein. Dia juga belajar dengan alam. Jadi dia faham maksud Administrative Manager di syarikat itu bererti kerani. Bahasa coolnya-ofis boi.

Gaji diterima adalah lumayan-sekaligus membantu dia mengelakkan gejala rempit,ragut dan rompak untuk menjalani hidup. Ironinya,setelah 2 bulan bekerja, dia belum dapat tahu, apakah produk syarikatnya. ( Macam Ted,Marshall,Lily dan Robin yang tak tahu kerja Barney dalam siri How I met Your Mother)

Namun Bujal bukanlah orang Melayu tipikal, yang malas mencari. Jika nampak hantu-setan, dapat keajaiban- Allah. Itu memang tidak dinafikan, namun setiap perkara mempunyai penjelasan-walaupun bukan semuanya! Maka, sekonyong-konyong Bujal ini cubalah menyelidiki objektik syarikatnya itu. Terpengaruh dengan gaya penyiasatan Los dan Faun, Bujal cuba menyiasat, namun tak berjaya. Kerana dia tiada kuasa. Maka dia meperbanykkan membaca buku Detektif Conan, Detektif Q, menonton CSI, Fight Club dan buku Dan Brown.

Pada masa yang sama, adiknya di kampung memerlukan wang sebagai ganti kerana terpecahkan pasu bunga Tok Penghulu yang bernilai RM 6000. Ibunya merayu, malu denganorang kampung. Bujal setuju untuk membayar RM2000 sebagi pendahuluan, dan dia terlupa tanya bagaimana Tok Penghulu mampu membeli pasu yang berharga RM 6000 semasa lawatan bersama Parti Keris ke China, sedangkan projek pusat bacaan kanak-kanak terbengkalai sejak 3 bulan lalu. Ehm....

Kembali semula kepada kisah Bujal di ibukota, duitnya juga banyak dikeluarkan untuk membeli buku. Ini kerana, buku di Malaysia tidaklah murah mana dibandingkan harga jualan buku negara lain. Namun, kerana banyak baca buku, Bujal berjaya mengalami pencerahan minda. Sejurus itu, dia mendapat tahu apa yang syarikatnya lakukan.

Syarikatnya telah mengeluarkan cermin mata teknologi tinggi kepada mahasiswa di negara. Melalui sebuah skim bantuan kerajaan, setiap pelajar diharuskan memakai cermin mata. Cermin mata itu dicipta supaya mahasiswa ini dapat melihat kebaikan dan kesempurnaan. Hebat bukan. Sangat kool. Namun sebenarnya cermin mata itu ada kesan sampingan- ianya akan menjadikan minda sukar berfungsi. Atau lebih senang, malas baca dan fikir. Dan kesan sampingannya yang paling Bujal tak boleh terima adalah ianya hanya dapat melihat kebaikan!

Jadi tercetuslah dialog antara Bujal, rakan sepejabatnya dengan penyelianya. Sama macam entri peristiwa di kedai kasut itu. Namun Bujal lebih hebat, dia berjaya menikam bertubi-tubi rakan dan penyelianya dengan Socrates.

Dan kini, Bujal berada di pintu bilik bosnya. Tiba-tiba waktu yang dilalui menjadi lambat. Dan dia teringatkan adiknya di kampung. Dia percaya, apa yang akan dia lakukan akan mengubah kehidupan kerjanya. Masa bergerak sangat perlahan, sedangkan Magdalena Delaine yang duduk di meja hujung itu merasakan masa sangat laju-kerana dia bermain game Zuma. Erm...efek kappa namanya.

Pintu bilik itu belum diketuk. Dia boleh pilih antara kebenaran atau penipuan, melawan atau mengikut, angel atau demon, masyarakat atau adik dan dirinya.

Erm..apa pilihannya? Dan bagaimana dia tindakan yang akan dilakukannya.
Dengan rendah hatinya, bayangkan anda Bujal dan kalian dipelawa sambung.

Peristiwa kedai kasut

Sewaktu tengahari tadi, saya ke Jusco Maluri. Asalnya mahu membaca buku, namun atas pelawaan separuh manja, separuh paksa oleh salah satu senior staf di tempat saya berkhidmat, saya akur. Kuasa wanita.

Selepas makan, saya terdengar perbualan 3 lelaki di bahagian kasut.

Alfredo Batista : Kau jangan tanya kasut ni diperbuat dari apa. Kau jual je.

Ghufran Massod : Mana boleh macam tu bang.

Alfredo Batista : Kau jangan tanya boleh? Jual je.

Pinocollo Peronna : Entah kau ni. Aku sepak kang kau ni.

Alfredo Batista : Kau jual jer..yang lain takyah ambil tahu..

Ghufran Massod : Mana boleh bang..saya cari rezeki, saya kena tahu..

Pinocollo Peronna : Kau ni..jual je la..kita kan kerja je..

Alfredo Batista adalah penyelia. Ghufran Massod dan Pinocollo Peronna adalah kawan baik yang baru masuk kerja (melalui pemerhatian 30 saat saya)


Saya tak tahu apa jadi lepas itu. Mungkin kasut yang dijual adalh diperbuat dari kulit biawak pasir. Ataupun mungkin diperbuat daripada babi yang betul-betul babi yang ada virus tu. Tapi, saya yakin Ghufran Massod tak akan berhenti kerja walaupun itu sah kulit babi.

Kerana dia adalah cerminan remaja masakini.

p/s : Alfredo, Ghufran dan Massod sekadar anonim yang saya berikan nama secara sukahati. Yang lain adalah kisah benar

sistem

saya sedikit kecewa kerana dilahirkan pada abad ini. Atau lebih tepat pada zaman moden ini. Ini kerana semua yang perkara yang saya fikirkan, ternyata sudah difikirkan orang terdahulu. Tiada keaslian.

Saya adalah seorang pelajar yang kecewa. Sedari sekolah rendah, hingga hari ini di menara gading. Saya belajar dari guru yang belajar dari gurunya ataupun dari buku. Dan guru saya ini mengajar dengan menggunakan ikhtisar dari pihak yang memerintah.Bermakna, guru ini mengajar saya sesuatu perkara yang baru, bukan mengajar saya untuk berfikir. Bahkan jarang memberi inspirasi budaya fikir. Tidak seperti Rangkaian Socrates-Plato-Aristotles.
Bukan salah guru yang ingin saya nyatakan. Saya menghormati semua guru saya.

Saya kira, ini cuma mainan sistem.

Ini hanyalah sebuah gagasan. Kebenarannya, Saya syukur dilahirkan untuk memahami ini.

Pernah bayangkan apa akan jadi jika kalian lahir seabad awal?

kacamata

Bayangkan kalian sedang duduk. Mata terpejam. Kemudian buka balik mata.
Ada tali di hujung tangan. Disangkut dari atas.
Di hujung kaki. Sebenarnya di setiap sendi badan.

Cuba lihat betul-betul. Mana ada tali tu.
Yang sebenarnya kalian dipaksapakai kacamata imej yang ada imej tali.

Sekarang cuba tonton siaran berita percuma 8 malam.
baca akhbar-akhbar utama.
dengar radio popular.

Nak tanggalkan kacamata tu?

kalaulah masih perasan yang kacamata tu tersangkut di kepala.

Penulis perlu menulis

Saya berehat agak lama. Saya gusar menulis lewat hari-hari sebelum saya bercuti. Tapi tak bermakna saya berhenti langsung. Saya telah mencari ruang dalam diri untuk perbaiki. Namun, tanpa menulis, saya sukar ketemui ruang cacat itu. Jadi, saya cuba membaca lebih. Ternyata, bila banyak membaca tanpa menulis, fikiran semain berat.


Saya telah diterima untuk berkhidmat seketika di intitusi yang memartabatkan bahasa Melayu pada tahap tertinggi. Tanpa gaji. Mungkin ini akan menjadi titik tolak untuk saya mengerti tentang perjuangan.



Rutin harian yang barangkali sama mungkin akan menyesakkan saya. Saya pernah beranggapan bahawa kerja di pejabat akan menjadi menarik. Ternyata saya lebih gemar hidup ala bohemian. Ruang yang sama dengan entiti yang sama setiap hari. Akan tetapi kerja di sini, walaupun tidak lari dari skeptikal saya, ianya memberikan pengalaman menarik. Kerana saya telah memilih untuk menjadikan ia seperti mana saya inginkan.

Dan setiap kali waktu senggang (waktu makan) saya akan mencuri ke sini untuk bertemu dengan sesuatu yang saya tak sempat ketemu, kerana saya belum dilahirkan. Ianya tidak ada di tempat lain. Dan saya boleh mengakses ke dalam ini dengan lebih mudah. Tempat ini dinamai Pusat Dokumentasi Melayu. Saya cuba mengkaji budaya sebelum saya wujud. Indah.

p/s: waktu-waktu sukar saya....inilah..

Blogger Templates by Blog Forum