Ketakjujuran

aku sering membayangkan, kehidupan di dunia ini resepinya adalah ketakjujuran.
bukanlah resepi baru untuk dimakan, tapi ianya dilihat dalam konteks keperluan.

ketakjujuran=keperluan..??

pekerja buruh
tak payahlah kau rajin sangat buat kerja. tengok macam aku, rileks je. cukup bulan dapat gaji juga. sama macam kau juga. tapi kena pandai lar.

pekerja kolar biru
aku tak perlu penat-penat macam korang semua. Tapi gaji aku tetap sama macam kau semua. macam mana?. haa! kena pandai ayat bos lah.

pekerja kolar biru,kot tempah kedai
rumah yang aku buat ni,kalau kau nak tahu....tak guna duit aku pun. Ini semua syarikat support. Ha..!! Takut?? Hahaha..pandai makan,pandai simpan lah..

ini baru sahaja ketakjujuran dalam ruang lingkup pekerjaan. bagaimana pula ketakjujuran sebagai insan?

bersedia masuk barisan


sabtu lalu. 23 Febuari. Aku pergi ke Silverfish Books, di Bangsar. Menemani seorang yang menghidupkan jiwarasaku. Dia pengkagum (pengagum?) Amir Muhammad. Maka, dia ingin membeli New Malaysian Essay. Seperti kukata, aku cuma meneman. Tak minat pun Amir. Bosan juga dengar orang Melayu cakap inggeris. Tapi aku ada dengar tentang Saharil Hasrin Sanin. Dia pun letakkan karyanya dalam buku tu. Memang dia Teroris Bahasa. Seusai pengenalan tentang buku tu, aku menyapa dia. Lepas tu aku makan hidangan yang disediakan. Sedap. Tapi aku tak tau apa nama kerepek tu. Aku ke rak buku jualan dan tertarik dengan sebuah buku. Buku inilah berbicara kepadaku supaya membuat anjakan paradigma( aku suka sangat perkataan ini, bila seseorang menggunakannya, orang itu akan nampak intelektual.)

Dan buku itu telah membantu aku menulis dalam blog.

Demi Sebuah Kecintaan.........??




Mulanya aku terhibur melihat aksi mereka.Mereka pelajar semester 1 yang mengambil subjek Asas Seni Lakon,yang disyarah oleh Aminah Rhapor. Mereka dikehendaki menjiwai watak seorang yang terencat(walaupun banyak yang menjurus ke bidang menjadi gila). Kemudian mereka akan berjalan sepanjang jalan dan singgah ke checkpoint-checkpoint untuk diuji keberkesanan lakonan mereka. Mereka diuji pelajar senior.Makin lama, makin bosan. Aku terlihat salah seorang pelajar ini, dia bertudung. Bagi aku tudungnya menutup aurat. Dan aku tahu dia menutup aurat atas kehendak agama.

Aku tersentap. Melihat aksi pelajar-pelajar senior yang menguji mereka dengan agak keterlaluan. Pelajar bertudung ini dimomok sehingga tudungnya tercabut. Dan dia hanya pasrah.



Adakah ini yang dikatakan seni lakon? Menjiwai watak sehingga meninggalkan watak sebagai seorang hamba abdi sepenuh masa. Rata-rata pelakon di Malaysia sebegini. Kerana tuntutan watak, semuanya bagi mereka halal.

"Ala...ini kan cuma lakonan" kata pelakon yang mendapat bayaran tertinggi

"Saya cuma ikut skrip je. Dah pengarah suruh macam tu. Salah ker?" kata pelakon yang mukanya sentiasa mencapap di mana-mana skrin.

"Takkanlah watak sebagai kekasih tak boleh nak pegang-pegang, raba-raba, usap-usap. Nama pun pelakon kan? Takkan itu pun nak kritik" Kata pelakon yang sering tercalon tapi tak pernah menang.

Nah, itu adalah realiti yang berlaku di dala industri hiburan. Seni untuk seni. Seni tiada kena mengena dengan agama. Sekular!! itu yang kita perjuangkan. Kita mulakan dengan asas pendidikan yang menekankan "matlamat menghalalkan cara". Ya! kita majukan industri kita seperti ini. Melihat seni dan agama sebagai satu keterpisahan. Dan kita mulakan dengan universiti! Salah siapa?

ANDA DIJEMPUT HADIR!

di suatu ruang.......

di suatu ruang
di malam hari
di puncak bukit

di satu ruang
2 manusia berpegang tangan
melafaz cinta berjanji setia
berpegang tangan melihat langit
kemudian bercumbu
2 manusia itu lelaki

di satu ruang
1 manusia berhati hati
menyedut asap rokok ganja
dalam dalam dan lepas
kemudian tersenyum
manusia itu gadis baru cukup umur

di satu ruang
3 manusia asyik bergitar
mendendang irama keras
liriknya provokasi,reformasi,revolusi
3 manusia itu baru buka Kamus Dewan

di satu ruang
19 manusia leka menonton
siaran lansung bolasepak liga perdana inggeris
sambil meneguk coca cola
dan mengunyah kacang ngan yin
separuh dari manusia itu
tak perasan bola itu bulat

di satu ruang
1 manusia sedang memerhati manusia-manusia itu
selepas beberapa ketika
manusia itu menutup jendela
baring di katil kemudian tidur

di suatu ruang
di malam hari
di puncak bukit

013916122007

segamat

cinta gila

tiada detik yang tak kutempuhi
tanpa mengingati kamu
tiada jejak yang kutinggalkan
tanpa memikirkanmu

gila uda milik dara
gila majnun milik laila
gila tristan milik isolde
gila jehan milik mumtaz
gila romeo milik juliet
gila aku.....
adakah kau menyimpannya?


26022008-0245
p.perdana

benda tu!!


satu ketika...

dia berlari. langkahnya sangat deras. nafasnya tercungap-cungap. bagaikan tak cukup tanah. bagaikan kekurangan oksigen. dia berlari, menuju ke arah cahaya matahari. ada benda yang mengejarnya. dan benda yang mengejarnya sudah hampir kepadanya. dia perlu mempercepatkan lagi langkahnya. kakinya dibuka seluas-luasnya. benda yang mengejarnya hanya beberapa kali sahaja di belakang. dia sudah tidak mampu mengakali langkahnya. yang dia tahu dia harus berlari. berlari dengan pantas. dia perlukan cahaya matahari. benda itu akan neutral jika berada di bawah cahaya. cahaya matahari hanya 10 meter sahaja di hadapan.

BUUUKKK!!!!!!!

dia jatuh.

SRAASSSH!!!

benda itu mencakar dadanya. sekaligus ianya terobek. benda itu merobek dadanya. meraba-raba ke dalam organ dalamannya. nafasnya tinggal 7. matanya memerah menahan kesakitan maha sakit. benda itu mencungkil jantungnya dengan berhati-hati.

TAAPP!!!

benda itu meragut jantungnya. benda itu mengangkat tinggi-tinggi jantungnya dan mengarahkan ke arah matahari.

SRAAASSHH!!

ARGGHHHHH!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

jantungnya dicakar. dihiris. dia sudah hampir tak bernafas. dia tak mampu memikirkan apa-apa. dia tak mampu membuat pilihan; untuk kali ini. apa yang dia mampu hanyalah melihat jantungnya diperlakukan sebegitu rupa. sakit? hanya dia dan Allah sahaja tahu.

dan tanpa diminta. tanpa disangka, benda itu meletak semula jantungnya ke tempat asalnya di dalam ruang badannya. dan bagaikan dijahit, kulitnya disambung semula. benda itu lari.


kini....

dia sudah pulih. sepenuhnya. tapi, masih ada parut di jantungnya. kau boleh lihat jika.................


NOTA: Jantung boleh juga diertikan dengan hati ataupun heart.
benda yang dimaksudkan adalah CINTA.
dan cahaya matahari itu adalah harapan yang pasti.
dia= jangan ditanya siapa dia.


0938-27022008
p.perdana

antara jiwarasa dan akar

akhirnya, selepas memakan hati, memendam rasa.

aku telah mengorbankan waktu wajibku untuk screening semata-mata memenuhi undangan sahabat, vince untuk ke konferensi teaternya. tapi dia tiada. haram betul. aku resah. gelisah. walaupun ramai. tapi aku sendiri. ibarat lalang di lautan hisbiscus. aku rindukan keluargaku.

"baliklah khamis ni..tolong niaga"
"nak aku tolong niaga..boleh..aku berhenti belajar terus"

dialog aku dengan adikku. bapaku ditahan di wad. tekanan darah tinggi. kupunya 7 adik. aku anak sulung. siapa lagi tempat bergantung yang tujuh itu?? ibuku? aku tak pernah jumpa wanita seperti dia. aku berani katakan ibuku lebih hebat dari semua orang. jangan bangkang aku. aku ada hujah.

kerana sakit yang ini. aku nekad. bila di dalam perperangan, orang yang berani matilah yang menempa kejayaan. aku kuatkan jiwa untuk merungkai kekusutan jiwa dan minda aku. kalaulah bayu yang berkesiuran mampu membawa sekali kelelahan jiwa.

bapaku sakit. aku juga sakit. bapaku tekanan darah tinggi. aku tekanan rasa yang meninggi. bapaku ditahan di wad. aku menahan di dalam hati.

aku nekad untuk berjumpa dan berterus terang dengan 'jiwarasa' ku. dan untuk yang kesekian kali aku ditolak. hahaha. ironisnya.

0100-27022008
p.perdana

wawasan murni

anak : abah dah bayar cukai
abah : belum
anak : abah tak boleh jadi hadhari lah

sejam di perpustakaan


(gambar hiasan untuk kurangkan stress membaca)
aku mencuri. mencuri masa untuk mengakses internet di perpustakaan. aku bawa bersama teman wanitaku. kecewa aku. tak boleh akses. di meja aku sekarang ini ada kamus dewan edisi keempat. buku baru dalam perpustakaan ni. sebelum ni tak ada kamus dewan pun. aku terkesan satu perkataan baru yang ada dalam kamus ini tetapi tiada dalam edisi ketiga.

angker = 1. (Jw) kelihatan menyeramkan kerana dipercayai berhantu.(rumah besar,pokok besar dll
2. kelihatan menakutkan (bk air muka orang)

jadi, pada aku, orang yang paling angker adalah 'jiwarasaku'

jadi, selepas mengesani yang aku tak mampu untuk mengakses internet dengan menggunakan kuasa batin, aku meninjau buku. tempat pertama yang kutuju adalah rak ruang sastera. aku dah agak. buku sikit sangat. mungkin banyak dipinjam. yang kupinjam pun belum kupulang lagi. maaflah, aku selalu baca lambat. rak buku tak pernah kulihat disusun dengan buku dari sasterawan negara. hatta satu pun. jadi untuk meredakan ketagihan terhadap karya sasterwan negara, aku membelek buku sastera luar. ada chairil anwar. ada kahlil gibran. ada ayu utami. ada naguib mahfouz. usman awang yang kucinta tiada.
oleh itu, jangan salahkan aku sangat jika aku tak merunut akar.

tak boleh tidur

aku tak tau. aku mengantuk. aku mau tidur. besok pagi aku ada kelas. kelas lecturer yang pernah memaki sahabat aku. sahabat aku dikatakan bodoh. walaupun memanglah dia tak sepandai khairy jamaludin. tapi dia tak sepatutnya diherdik bodoh. kata lecturer itu, dia selalu marah anaknya sebegitu. kata aku, kami bukan anaknya. tapi aku aku berkata dalam hati sahaja. kami sekelas cuba memprotes lecturer itu. maaf, aku guna perkataan lecturer sebab dia ajar english. kalau dia ajar pendidikan islam, aku akan panggil dia ustazah. tapi dia bukan ajar pendidikan islam. dia ajar inggeris. jadi dia lecturerlah. aku juga sering menegur bondaku jika dia menggunakan perkataan bodoh untuk memarahi adik-adikku. aku tak mahu adikku jadi macam lembu. ini pun aku musykil. apa lembu itu bodoh sangat ke? lalat lagi bodoh. dah tahu benda tu najis,lagi nak makan. siap ajak member-member lagi.selepas kami (aku dan rakan-rakan seperjuangan)membuat siri-siri pemprotesan terhadap herdikan bodohnya kepada sahabat aku, dia menggelar kami manja. tak boleh dimarah. aku senyap je. aku memang suka jika dikatakan manja. tapi bukan dari lecturer inilah. mungkin liyana jasmay ke..atau dengan jiwarasa ku. alangkah baiknya jika aku diterima. akan kupintal buih-buih di lautan menjadi hamparan tidurmu. erm...sungguh aku mengantuk. aku mahu berhenti menulis. aku mau tidur. oh jiwarasaku.

(aku tulis sambil mendengar lagu malam dan bonda dari m.nasir. serta membayangkan jiwarasaku.)

jam 2.30 pagi
25 febuari 2008

kerja sahabat

aku tak tahu kenapa harus aku suka padanya. itu tak apa. tapi aku juga tak tahu kenapa aku harus terus mengejarnya. mungkin itu juga tak apa. tapi....teman-teman aku pula yang risau tentang pilihan yang ingin aku lakukan. kenapa korang semua begitu risau.

merc: kau jangan jadi bodoh boleh tak? orang dah tak sudi buat apa kau kejar. cuba kau kira berapa ramai gadis di dunia ni. ha? perempuan semua anggap kau sebagai entiti comel yang akan digunakan jika diperlukan sahaja.

aku senyum. tak terhiris pun.

baldi: dia cantik siot. tapi..menurut tilikan aku, semester 5 baru kau ada awek

aku senyum. tak hampa pun.

ratna: aku tak sukalah dia.

aku senyum. tapi aku suka

finho: kau ni. kau tak rasa buang masa ke? tapi kalau itu yang kau pilih...

aku senyum. dia serius. aku senyum.

kenapalah kamu semua risau sangat tentang aku. tiba-tiba aksara SHAABTA berlegar-legar di otakku. aku fikir. aku buka kamus. baru aku faham. itulah namanya sahabat.

terima kasih sahabat.

Blogger Templates by Blog Forum