mencari magis raya 1

entri kali ini agak panjang. mungkin kalian tak suka membaca, tak membaca dan tak ingin membaca entri ini. mungkin juga kalian akan meninggalkan komen walaupun tak membaca. ya. saya tau itu. itu terpulang. kerana kalian juga memberi saya semangat untuk menulis. entri kali ini agak dokumentari sedikit. boleh dikira travelog. memang sengaja dipos selepas syawal.

ini kisah saya. kisah saya mencari magis aidilfitri yang telah saya mulakan sejak beberapa hari sebelum aidilfitri. malam-malam akhir aidilfitri. mungkin malam pertemuan sang kekasih (lailatul qadar) tersembunyi di sini. kembara saya bermula apabila saya menaiki keretapi untuk pulang ke kampung.

25 sept
menanti gerabak keretapi, tidaklah mengundang resah bagi saya. mungkin saya sudah galib dengan perasaan ini. namun ada rasa yang menujah saya. ya. keretapi/tren yang dia naiki,sepatutnya sama dengan saya. dan stesyen yang saya tunggu pun sama dengannya. dia adalah orang yang menjadikan saya selelaki sekarang. mungkin kerana dia, lahirlah amerzaman. namun kelibatnya tak kelihatan. ada keralatan di situ. maka lahirlah puisi ini.

senandung semalam memainkan iramanya,
tika aku masih mencari-cari
jawapan yang masih di alam ghaib,

kota demi kota diluncuri,
malam tujuh likur makin pekat,
satu hasrat berjuta impian harus tersebar, n
amun pernantian ini besar maknanya,
meski kekaburan kian meyelimut jiwa.

adakah aku yang semakin menjadi laki-laki,
perlu dan harus bersabar lagi
dalam perjalanan ini
atau
aku patut menjejaki kesan tapak kakiku?
atau
aku harus mendengar dari kau
yang enak berbaring di tilam empuk itu berkata
yang kita ini bukan dalam tren yang sama

0115-26092008
senandung semalam
kl-kajang-segamat-singapura

pada malam itu sepatutnya ada magis yang berlaku. namun mungkin ada sesuatu yang menghijabnya. dia yang tau.

26sept.



kembali ke pangkuan keluarga. dan ini adalah bulan ramadhan. semenjak berusia 10 tahun, setiap kali ramadhan, saya pasti akan berniaga. ada kala saya menjual nasi beryani dan nasi ayam. adakala saya menjual kuih-kuih raya. adakala saya menjual kurma. adakala saya menjual air. adakala saya menjual roti john dan mi rebus. kali ini saya membantu keluarga menjual rojak asma dan nasi ambang. masih lagi dalam suasana mencari di mana sembunyinya magis aidilfitri.
saya mulakan kerja jam 9pagi dengan memasak bahan untuk rojak. pada waktu petang, jam 3 petang saya akan terpacak di bawah khemah bazar ramadhan segamat. oleh kerana saya gerai saya mengahdap pasaraya menjual kain yang besar, saya dihiburkan dengan muzik dari kedai tersebut. sayangnya kedai ini tak memutarkan lagu raya. lagu yang diputarkan hanyalah biar betul dari akar,retak dari ella, kacap terlabik dan cinta dewa-dewi oleh spider. dan beberapa lagu lagi yang diulangdengar. hal ini sedikit sebanyak mengurangkan resah saya terhadap ketibaan syawal. tak sama seperti kanak-kanak dahulu. ketibaan syawal adalah sesuatu yang mengujakan. mungkinkah magis aidilfitri itu datang bersama dengan dendangan lagu-lagu raya?

tak lengkap aidilfitri tanpa membeli-belah. malam itu saya bersama keluarga (saya menemani ayah dan ibu serta 6 orang adik) membeli-belah baju raya. yang berasa gembira ketika ini tentulah wanita dan adik-adik. bagi saya, situasi ini sudah imun dengan saya.malam itu beratus-ratus ringgit habis untuk membeli-belah. ini pembaziran? tidak. kerana pakaian yang dibeli akan dipakai sepanjang tahun hingga ke aidilfitri depan. kira waktu inilah satu-satunya waktu kami mengganti pakaian baru selain semasa hendak naik sekolah.kerana aidilfitrilah,kami membeli pakaian. mungkinkah magis aidilfitri itu datang dalam atmosfera membeli belah?

30september
hari terakhir selepas hari-hari terakhir penat lelah. hati terdetik "kau penat ya! kalau kau nak tau inilah kerja mama,papa dan adik-adik kau sepanjang kau belum balik". ya. hari terakhir ramadhan. sebagai seorang yang semakin laki-laki, lebaran bukanlah sesuatu yang huha-huha. maka hari terakhir puasa membuatkan jiwa tersentuh. mungkin sekadar katarsis. lebaran bukalah macam lagu suasana hari raya dendangan sanisah huri maupun seloka hari raya. lebaran besar ertinya. macam lagu salam dunia.
mereka yang dilanda derita redhalah harimu kan tiba cahaya kekasih yang benar menghapus segala api kemarahan.

malam raya,jika sepuluh tahun dulu, bukan begini sambutannya. adik-adik saya pun tak dapat merasa apa yang pernah saya alaminya. sepuluh tahun dahulu,suasana raya dipeluk. bunga api,pasang langsir,kemas rumah,masak,main kejar-kejar,bergurau..semuanya dilakukan dengan jiwa lebaran di rumah nenek. namun tak sekarang. mungkinkah magis raya menghilang?

p/s: entri ini bersiri. saya temui magis raya itu sebenarnya..ada sambungannya.

tanpatajuk

kamu yang duduk di situ
dan kemudian berlari
teruskanlah berlari
sepantas yang kamu mahu
bukankah sudah kukatakan
kau bersembunyi dimana pun
kebenaran takkan pernah lelah

carilah diri kamu di puncak gunung
carilah diri kamu di jurang mariana
kutiplah jiwa kamu di mana pun
kamu takkan ketemu

bukankah sudah kukatakan
kamu tak pernah melihatnya dalam diri

181008-1024
p.perdana

p/s: kalau terus berlari, kalian semakin lupa jatuh

Dialog Puncak Perdana dan Kod Filem Komedi

Satu

Shuhaimi Baba
Yasmin Ahmad
FINAS
U-Wei Haji Shaari. (BATAL)

Semalam, 8 Oktober telah berlansungnya 1 majlis yang diberi nama 'Dialog Puncak Perdana'. Dialog Puncak Perdana adalah inisiatif pihak Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik untuk memapankan industri kreatif negara. Dialaog Puncak Perdana yang pertama ini mengambil Pengantarabangsaan Filem Malaysia sebagai subjek diskusi.

Pengantaranya ialah Dr. Mahadi J. Murad. Ahli panel adalah Shuhaimi Baba, Yasmin Ahmad, pegawai dari Finas. Sayangnya, U-Wei tidak dapat hadir. Mungkin tersesat dengan keadaan geografi Kolej Puncak Perdana ini. Maka, kuranglah rencah dialog ini. Ini kerana, filem arahannya, Kaki Bakar adalah antara filem yang terawal mendapat pujian dari luar negara. Ketiadaan beliau juga,membuat saya terasa majlis ini sedikit kudung. Ini kerana, Shuhaimi Baba dan Yasmin Ahmad adalah pembikin filem wanita. Mungkn mereka menjadikan filem sebagai emansipasi mereka terhadap kehidupan. Ya. Mungkin feminis. Hal ini berbeza dengan U-Wei, di mana wanita dianggap entiti yang beracun. Bandingkan Perempuan Isteri dan ..... dan Buai Laju-Laju dengan filem-filem Shumi (Pontianak, Waris Jari Hantu) serta filem Yasmin (Sepet,Gubra).
Majlis yang sepatutunya bermula pukul 4 terlewat sejam. Tiada apa yang dihairankan. Maka setelah majlis bermula,sempatlah saya menyalin beberapa kata dari 2 pengarah yang hadir ini tentang tajuk yang dibincangkan.

Shuhaimi Baba
-filem kita perlu dijual di luar negara. Industri kita kecil. Kita tak macam Amerika, China atau India. Mereka buat filem untuk pasaran negara mereka. Jika ianya dijual keluar,itu adalah bonus.
-kebanyakan kerja mengantarabangsakan filem Malaysia dibuat oleh individu itu sendiri. Bantuan dari pihak sepatutnya amat kurang dan mengecewakan.
-apabila filem kita tak bekualiti,setiap majlis diskusi pasti mengatakan skrip kita tak bagus. Ini kerana industri kita yang sentiasa ingin cepat. Penulis tak dapat banyak masa menulis.

Yasmin Ahmad
-hendak mengantarabangsakan filem kita, kita mestilah buat filem yang best!
-kita jangan fikir buat filem hendak mengangkatkan kebudayaan serta bahasa ibunda. Buat filem tentang kemanusiaan sudah cukup.
-tau kenapa industri filem korea maju. Ini kerana Menteri Kesenian mereka pernah buat filem. Orang yang tahu tentang industri sahaja faham industri.-sedarlah diri. Filem adalah kepentingan paling bawah berbanding perubatan,keselamatan dan pembangunan.
-golongan yang hendak buat filem, anggaplah kerajaan tak wujud. Dana tak wujud. Buat filem dengan inisiatif sendiri. Jangan harapkan bantuan.

Dan kemudiannya,lebih banyak dialog bertumpu ke arah wakil Finas yang juga wakil kerajaan. Majlis terasa patut diberi Dialog Puncak Perdana Kita tanya, Finas cuba Jawab. Entah mengapa, ramai penggiat filem seperti tidak puas hati dengan kerja yang dilakukan FINAS. Saya juga tak nampak penglibatan FINAS dalam mengantarabangsakan filem Malaysia. Yang saya ingat, saya pernah ke FINAS untuk menyaksikan rancangan Sensasi yang kemudiannya digam! Mungkin FINAS pelulah memikirkan hal ini. Kemudian anjurkan majlis diskusi ya..!!

p/s: muhsin..aku tak dapat lagakan antara Shumi dan Yasmin dengn U-Wei. U-Wei tak datang!


----------------------------------------------------

Dua

Lebaran kali ini,pasti tak sunyi. Ya seperti biasa, waktu inilah penerbit-penerbit filem mahu menayangkan filemnya. Dan pada lebaran ini 2 filem yang berjaya adalah Kami the Movie dan Senario Episod 1. Apa yang saya inigin bincangkan adalah berkaitan dengan filem Senario Episod 1. Ini filem komedi. Arahan Ahmad Idham. Ya,saya belum menontonnya. Tapi berdasarkan sinopsisnya, saya terkesan untuk menulis kod etika filem komedi Melayu. Filem komedi Melayu. Filem. Baca terang-terang.

Filem :
1- Dunia Baru The Movie
2-Baik Punya Cilok
3-Buli Balik
4-Senario
5-Kala Malam Bulan Mengambang
6-Senario Episod 1

Apa persamaan filem-filem ini? Kalian boleh juga menambah Telemovie Cili Padi. Bagaikan satu kod etika dalam perbuatan filem komedi Malaysia, iaitu CULIK-MENCULIK dan MUKA SAMA. Ya, ada diantaranya mempunyai garapan yang hebat. Namun isu menculik yang sering dijadikan plot dalam sesebuah filem bagaikan ianya adalah kod filem komedi. Apakah puncanya? Mari kita fikirkan.

Di Malaysia, terdapat banyak kes penculikan. Mungkin kerana sifat keprihatinan penulis skrip yang menjadikan isu ini sebagai satu plot. Tapi mengapa dalam bentuk komedi? Mengapa tidak seperti filem Gone Baby Gone ataupun Mystic River. Yang lebih serius?

Mungkin kerana kepayahan kita menerima hakikat bahawa penculikan itu sukar diatasi. Untuk melupakannya,kita ketawakan ia,supaya ianya tak diingati. Atau mungkin memang si penulis skrip tidak mampu befikir komedi yang berisi seperti filem animasi Bee Movie. Maka tak hairanlah,penculik diberi gelaran aneh seperti lelaki misai kucing.

Mmebuat lawak secara berseloroh mungkin senang bagi kita,rakyat Malaysia. Namun apabila hendak memframe kan ia ke dalam medium filem,ia adalah sesuatu yang sukar. Membuat orang menagis memang mudah namun membuat orang ketawa amat sukar. Bilakah pembikin filem komedi kita sampai ke tahap Woody Allen atau Roberto Benigni?

Buatlah lah lagi culik menculik dan muka sama. Kami tetap terhibur sebenarnya.

salam aidilfitri.

saya sedang mencari-cari magis aidilfitri.
say mencari sepanjang perjalanan lebaran ini.

mungkin aidilfitri kali ini tak sama seperti 10 tahun yang lalu.
mungkin magis aidilfitri kian pudar.
tapi selagi KEMAAFAN wujud.

cahaya aidilfitri takkan padam.


tv , ps2, sms , telah memudarkan warna aidilfitri

satu-satunya magis raya yang masih kita punya

adalah KEMAAFAN.

nikmatilah selagi ada
.

salam dunia.
salam semua.

salam maaf.

yang benar,
amerzaman.

apakah masih ada magis itu?

p/s: saya insan kecil. saya bukan siapa-siapa. harap kesilapan saya tak begitu membebankan. harap maaf saya diberi,walau terkadang saya alpa.

Jatuh

Selalu jatuh? atau anda adalah salah seorang insan yang sentiasa jatuh di dunia ini? teringat nostalgia semasa kecil. Semasa zaman bayi, zaman mula ingin mengenal dunia, zaman belajar bertatih. Kita sering jatuh. Sering juga kita menangis. Kemudian bertatih lagi dan menangis lagi. Kala itu, jiwa kita yang mentah, yang belum dinodai rona hitam, sebenarnya kuat. Kala jiwa kecil kita sedang berkembang hebat itu jugalah, 2 orang insan, yang kita kenali sebagai ibu dan ayah akan sentiasa di sisi kita. Suapaya bila kita jatuh, kita akan mampu bangun, supaya jiwa kita tak takut berkembang lebih besar.

Zaman kanak-kanak kita lalui dengan penuh keceriaan. Jatuh itu ceria. Nangis dalam ceria. Pada zaman ini, jatuh itu hanya sekadar jatuh. Saya pernah fikirkan, mengapa orang dewasa jarang dilihat jatuh. Bagaimana agaknya rupa orang dewasa apabila jatuh. Seperti kanak-kanak kah?

Zaman kanak-kanak berlalu pudar. Menginjak pula zaman remaja. Zaman yang mengenal makna jatuh. Saham jatuh. Jatuhnya sebuah kerajaan. Jatuh hati. Dijatuhi hukuman. Besar makna jatuh ketika ini masih kecil. Ini kerana, walaupun kita semakin jauh dengan ibu dan ayah, entiti-entiti baru mula mencorakkan kita. Itu adalah kawan-kawan. Kita sama seperti kawan-kawan. Kita corakkan mereka, dan mereka corakkan kita. Umpama mencelup berus poster colour yang mempunyai sisa warna biru ke dalam botol poster colour bewarna kuning.

Zaman mengharungi dunia sendiri, makna jatuh semakin besar. Maka terhurailah sebab mengapa orang dewasa takut akan jatuh. Pengetahuan tentang sebab dan akibat semain berkembang. Bukan seperti bayi,kanak-kanak mahupun dewasa. Ianya ibarat. kita mengetahui teori kewujudan alam semesta. Semakin banyak kita tahu, semakin besar ketakutan kita. (atau takjub) Makna jatuh itu, wujud apabila kita bangun, Dan itulah nikmat sebuah kejatuhan.

aku sering jatuh
di tempat sama
hampir setiap hari
walau cuba kulari
namun ibarat
lohong hitam
ia menarikku
bukan bodoh
tak juga sesal
kerana nikmatnya

p/s : terima kasih, sahabat. Jangan risau tentang saya. Saya masih mampu senyum

Terima Kasih


Anda tentu sudah membaca kisah Bujal ,sebuah puisi monolog refleksi terhadap apa yang saya rasa dan apa saya perhatikan. Mengambil masa selama 2 ramadhan untuk lengkap. Apa yang membuat saya berbesar hati, kerana teman-teman sudi untuk membacakan puisi ini untuk dijadikan persembahan di Malam Pen & Rendang. Ini adalah puisi dari seorang marhaen tentang adventur seorang berani mengubah.


Kalau tidak kerana Muhsin, John Melawi, Syah, Lara Lady, Era, Ratna, Fairuz,Wan Chel, Sarah, Kish , Nisa dan kemerduan seruling Kid, Bujal hanya sekadar puisi yang disimpan di dalam arkib saya.

Terima Kasih Sahabat. Tiada aporisma yang lebih indah daripada pengucapan terima kasih.
Yang Benar,
amer zaman






Menjejaki Mamat Khalid?

Anda pernah terbaca,antara entri saya yang lalu bertajuk Pengarah Berfikir, Aku Memikir. Itu adalah entri saya yang mengapresiasikan pengarah filem yang befikir. Di dalam entri tersebut, saya menyatakan kekaguman saya terhadap pangarah Mamat Khalid terhadap filemnya Kala Malam Bulan Mengambang. Tak lama selepas itu saya menjadi gembira kerana kemenangan filem itu di Festivel Filem Malaysia 21.

Jadi apabila mendapat peluang bahawa terdapat seminar 'Menjejaki Pemikiran Mamat khalid, sudah pastilah tak akan saya lepaskan. Semina pada ketiak itu berjalan lancar. Namun kehadiran ahli-ahli panel telah mengganggu ruang antara hadirin berkomunikasi dengan Mamat Khalid. Tidak saya nafikan bahawa pandangan ketiga-tiga panel, A. Wahab Hamzah, Dr. Zul dan Norman Yusoff banyak membantu dalam menyampaikan wacana. Terasa seperti berada dalam atmosfera dewan kuliah. Namun, seminar itu bukan berjudul 'MEMAHAMI PEMIKIRAN MAMAT KHALID' tetapi "MENJEJAKI'

Saya berada di situ sepatutnya pulang dengan meklumat bahawa, pemikiran Mamat Khalid adalah hasil tuaian beliau banyak membaca, atau menonton atau budaya persekitarannya. Ataupun kerana beliau telah berkelana ke Eropah untuk mencari makna sebuah filem. Oleh kerana panel-panel yang begitu kritis, saya tiba-tiba terasa sangat kecil untuk bertanya, maka terpaksa saya tanyakan hal ini secara peribadi selepas seminar. Seperti permintaan dan janji beliau kepada saya ketika di tempat kejadian dan di blog beliau, beliau akan bercerita di blognya.

Bujal 2

Bulan Ramadhan-al mubaraq yang lepas, saya sempat mencipta sebuah sajak. Bujal. Diinspirasi dari hasil observasi terhadap kehidupan. Sajak itu yang juga telah saya letakkan di dalam blog ini (klik sini) memberi satu makna yang besar bagi saya. Oleh itu, sajak itu telah saya tambah untuk menghasilkan jalan cerita yang lengkap. Cerita tentang pengorbanan di Ramadhan al-Mubaraq


1

semakin matang peredaran masa

semakin rumit pemikiran manusia

bulan sudah sarat dengan cahayanya..

maka pada satu ketika

lahirlah sang anak bulan

saya sebagai penyampai mohor Sang Raja

pemimpin alam langit-bumi

mengumumkan,ujian bagi umat terpilih

akan bermula besok

2

bujal menyarungkan baju putih

dililitkan bersama selendang putih ayah di leher

berderap kaki menari

menuju irama qudus

hayal ala solah

hayal ala falah

nikmat ramadan dikucup

bulan baroqah membawa berkat

berkat bulan membawa rezeki

rezeki takkan datang bergolek dan tak juga melayang

ramadhan bukan bererti berhenti berjuang

ramadhan ertinya rela bekorban

3

adik...jaga ibu kita adik

abang keluar untuk mencari rezeki

untuk kau, untuk ibu

buat kita belanja heri raya nanti

adik jangan takut bersama ibu

di mata ibu, ayah masih ada

ibu tidak gila, dia cuma terlalu rindu

sama seperti kau yang rindukan

jasad arwah ayah kita yang entah di laut mana

4

panas terik mentari bukan penghalang

setitik peluh yang berlinang di ubun-ubun Bujal

bererti sejuta kebahagiaan akan dia rasakan

syawal akan menjelang tiba

malam ini malam yang tujuh akan datang

menyembunyikan malam pertemuan sang kekasih

5

keesokannya di dada-dada akhbar:

musim harga barang naik lagi

melambung,melonjak

tinggi hingga tembus siling

bergejolak, berkocak

nasib si miskin tak dipeduli

dan terus bergelumang dengan kemiskinan

dan kaya akan berenang terus dengan duit

hingga mati lemas

6

kita ini golongan penggerak ekonomi negara

golongan tani, buruh, nelayan dan peladang,

terus dihimpit,

terus terdesak

akibat cukong

tamakkan untung

8

suara kita harus lantang,

supaya didengar dan dipertimbang,

kita laungkan hak kita

di setiap lorong-lorong kota

bahawa kebenaran haruslah berpaksikan

pada keadilan

9

Bujal masih ingat dahulu,

Pesan dari ayahnya,

Politik itu lumpur,

Namun jika terpaksa

Jangan sesekali berkata tidak

Dan jangan terusan-terusan lupa

Politikus umpama kucing hitam

Kukunya yang tajam sentiasa tersembunyi

10

adik jangan risau,

baju melayu merah teluk belanga

sudah abang dapatkan untuk adik

bila adik bangun nanti cuba lihat di bawah bantal

adik...jaga ibu kita adik

abang telah mendapat tiket perjalanan

ke taman keabadian

abang takkan pulang syawal ini

beritahu ibu

abang meyesal tak pernah cium pipinya

0255-29092007 & 1425- 10092008


(ini bukan Bujal yang sebenar mahupun adik Bujal. Sekadar gambar hiasan)

wanita,perempuan,gadis

Pada zaman kuno ada satu tamadun yang dipanggail Tamadun Rom. Tamadun ini adalah salah satu tamadun yang terunggul di bumi pada ketika itu. Namun kekukuhan tamadun ini mula goyah, kerana wanita bernama Helen. Di Amerika Syarikat tidak lama dahulu, skandal antara Clinton dan Monica telah menjadikan rakyatnya hilang kepercayaan terhadapnya. Ini adalah contoh bagaimana wanita boleh begitu menjatuhkan kerajaan ataupun individu. Saya seorang lelaki. Sejak akhir-akhir ini saya membuat keputusan untuk tidak bercinta. Bukan kerana saya ini tidak kacak. Tetapi saya rasa saya tidak mahu. Cuba lihat,suasana politik di dalam negara kita, kerana seorang wanita berasal dari Mongolia, kita tak bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang. Ini bukan punca, tapi ini penggerak.

Saya punya ramai teman. Dan teman saya itu mempunyai teman-teman masing-masing. Saya kadangkala simpati dengan teman yang terpaksa menambah ruang komitmen untuk temannya. Makan bersama, main bersama dan belajar bersama (macam lagu 3 Sekawan). Tidak seperti saya. Mungkin saya mudah bosan dengan entiti selain daripada diri saya. Jadi kebanyakkan masa dilakukan dengan bersendiri. Saya tak kisah makan bersindiri, tonton wayang sendiri dan membaca seorang diri. Jadi satu-satunya manusia yang saya tak pernah bosan,adalah diri saya. Ini sebab saya hidup hingga kini.

Ketika sekolah dahulu, saya mempunyai sahabat. Kini saya masih memiliki sahabat itu, namun kami tak lagi seperti dahulu. Jika sempat sekalipun, ianya tidak sama seperti dahulu. Saya terima berdasarkan prinsip saya tentang manusia-people always change. Masa untuk saya habiskan dengannya,dikawal sepenuhnya oleh teman wanitanya. Ini adalah hujah untuk melihat perkara baik dalam sesuatu yang kurang keindahannya.

Saya pernah bertikam lidah dengan seorang gadis. Saya mulakan dengan agak perlahan. Hujah saya, banyak kerajaan roboh ataupun goyah kerana seorang wanita. Ataupun intergriti seorang lelaki jatuh adalah kerana wanita. Dia mati-matian menolak hujah saya. Saya cakap berdasarkan fakta. Lihat kota Troy. Lihat kitab Mahabharata. Lihat kisah Syeikh San'an dalam Kitab Mantiq-at Thair. Ataupun,sila baca novel dari Novelis Thriller Malaysia No Uno- Ramlee Awang Murshid. Atau mungkin gadis ini lupa tentang kisah cinta agung Puteri Gunung Ledang dengan Hang Tuah. Namun gadis ini seboleh-boleh menafikannya. Tanpa hujah. Gadis ini semakin teransang untuk bertikam lidah dengan saya. Mungkin adrenalin femininnya mencurah-curah bagai idea Yasmin Ahmad. Jadi untuk mengelakkan saya dijerit oleh seorang gadis yang cuba menafikan tanpa bukti, saya jawab...
" Tak semua wanita begitu. Siti Khadijah adalah sumber kekuatan Muhammad S.A.W untuk menebarkan Islam."

p/s: mae muki ni ikite iku

Hishamuddin Rais dan jiwa sebuah buku.

Usia blog ini sudah setahun. Maknanya sudah setahun aku menulis blog. Ramai kenalan dari blog. Aku jenis yang menulis-bukan-bercakap. Secara tak langsungnya, aku sudah punya pembaca tetap. Dan aku perlu berkongsi. Kini bukan aku-tapi-saya. Lebih manis.

Saya sebenarnya anak muda yang sentiasa tandus. Saya tak tahu apa perlu saya lakukan untuk menjalani hidup sebagai anak muda. Pada saya,hiburan itu tak begitu banyak. Saya tak kenal disko,tak kenal pub dan tak tahu apa ada pada pesta buih selain buih yang berbeluak. Pada saya hiburan itu t.v,filem,muzik,seni dan buku.

Semenjak saya jumpa buku ini di sebuah kedai di kawasan Damansara, saya tertarik untuk membacanya. Tetapi apakan daya, RM30 bagi saya adalah sesuatu yang berat untuk dikeluarkan untuk membeli buku. Saya simpan hasrat sehingga ekonomi saya kukuh untuk membeli buku ini.

Saya bekerja dengan tekun dan sabar untuk mengumpul duit. (Membeli buku ini,bukanlah agenda utama saya)

Akhirnya saya berjaya membeli buku ini. Selepas beberapa ketika saya meniduri buku ini, saya berasa segar. Buku ini adalah sebuah himpunan rencana tulisan Hishamuddin Rais. Keganasan,Penipuan & Internet: Hegemoni Media Daulah Pecah. Hisham menggelar diri dia sebagai reformis. Semakin hari, semakin mendalam tulisan dia, saya semakin ketagih.

Hal ini diperkuat dengan dialog pak lang saya yang mengatakan "mamat ni duk luar negara bertahun-tahun,tapi tengok bahasa Melayunya".

Buku ini memang berkisar suasana politik terkini. Sebagai mahasiswa, buku ini patut dibaca kerana ditulis oleh ikon ataupun legenda hidup mahasiswa tempatan. Yang merasa politik itu lumpur, lagi layak membaca buku ini.

Tapi awas, jangan terpengaruh dengan gaya hidupnya. Yang begitu sekular.

Selepas membaca buku ini saya terfikir. Apakah benar kerja bercakap benar itu seumpama ditelan mati mak, diluah mati bapa? Tak! bercakap benar yang pahit itu adalah keharusan. Saya baru faham, mengapa saya kurang yakin bila bercakap benar. Rupa-rupanya saya telah terdidik sebegitu. Bercakap benar bererti bermulut lancang. Apakah perlu kuasa untuk berubah? Perubahan dan kerja mengakkan kebenaran tak semestinya perlu disokong.

Cukuplah sekadar prinsip menyatakan kebenaran, dipegang. Tak perlu jadi ketua dalam mana-mana persatuan atau mewujudkan mana-mana kumpulan.Tak perlulah berpolitik. Cukuplah dengan kita bercakap benar diiringi rasa tanggungjawab. Mungkin kta boleh belajar dari Soe Hok Gie.

Kehidupan ini perlulah diraikan.
dan AUKU itu perlulah dimansuhkan.
serta membaca kan mendewasakan kita.
Takbir!

p\s: isu AUKU terlalu basi. Seperti laukyang dimasak 30 tahun lalu, dan kita setia menghidangkannya. Segan untuk diceritakan.

sandiwara ahad.

semalam, sebelum pulang ke johor bahru.

aku mahu larikan diri dari alam realiti. aku celaru dengan benda sepatutnya tak aku celaru.
sandiwara yang mana satu aku perlu percaya?

aku mengambil langkah berani dengan menonton The Dark Knight kali kedua. Dengan harapan, aku dapat jalan untuk menyelamatkan negara.
filem adiwira yang membuahkan rasa simpati terhadap kebaikan sebenar.

joker: aku adalah objek yang tak boleh dihalang. dan kau objek yang takkan berubah. kita ditakdirkan bersama.
batman: sama ada mati sebagai wira, ataupun hidup menderita lebih lama dengan ketakjujuran..

makna wira sebenar, semakin aku faham dengan filem ini.
wira sebenar memberi tanpa meminta
sentiasa menjaga dengan memerhati dari sudut paling gelap.
dan ianya sentiasa diperlukan tanpa kita inginkan.

aku faham. belajar dari filem hollywood lebih memberi kesan ke dalam jiwa dari membaca tajuk utama akhbar ahad. sekurang-kurangnya aku tahu, joker punya gaya yang hebat, tapi batman adalah wira yang mengkagumkan.

p/s: aku masih begini

ada yang tiada

ini puisi. bukan puisi hatiku ataupun hatiku puisi. ini puisi yang tajuknya seperti tajuk puisi.

ada resah di hujung rasa
ada rasa di hujung resah
rasa resah yang tak sudah-sudah

ada kesal di dalam hati
ada hati di dalam kesal
hati kesal yang tak mati-mati

ada lara di pangkal jiwa
ada jiwa di pangkal lara
jiwa lara yang tak putus-putus


semua ada
mana ada
tempat kulari.


0222-310708

p/s: ini puisi tentang rasa sesal kerana membuat keputusan yang sebaik-baiknya. hidup memang begini.

Blogger Templates by Blog Forum