Jatuh
23 September 2008 by amer zaman
Zaman kanak-kanak kita lalui dengan penuh keceriaan. Jatuh itu ceria. Nangis dalam ceria. Pada zaman ini, jatuh itu hanya sekadar jatuh. Saya pernah fikirkan, mengapa orang dewasa jarang dilihat jatuh. Bagaimana agaknya rupa orang dewasa apabila jatuh. Seperti kanak-kanak kah?
Zaman kanak-kanak berlalu pudar. Menginjak pula zaman remaja. Zaman yang mengenal makna jatuh. Saham jatuh. Jatuhnya sebuah kerajaan. Jatuh hati. Dijatuhi hukuman. Besar makna jatuh ketika ini masih kecil. Ini kerana, walaupun kita semakin jauh dengan ibu dan ayah, entiti-entiti baru mula mencorakkan kita. Itu adalah kawan-kawan. Kita sama seperti kawan-kawan. Kita corakkan mereka, dan mereka corakkan kita. Umpama mencelup berus poster colour yang mempunyai sisa warna biru ke dalam botol poster colour bewarna kuning.
Zaman mengharungi dunia sendiri, makna jatuh semakin besar. Maka terhurailah sebab mengapa orang dewasa takut akan jatuh. Pengetahuan tentang sebab dan akibat semain berkembang. Bukan seperti bayi,kanak-kanak mahupun dewasa. Ianya ibarat. kita mengetahui teori kewujudan alam semesta. Semakin banyak kita tahu, semakin besar ketakutan kita. (atau takjub) Makna jatuh itu, wujud apabila kita bangun, Dan itulah nikmat sebuah kejatuhan.
aku sering jatuh
di tempat sama
hampir setiap hari
walau cuba kulari
namun ibarat
lohong hitam
ia menarikku
bukan bodoh
tak juga sesal
kerana nikmatnya
p/s : terima kasih, sahabat. Jangan risau tentang saya. Saya masih mampu senyum