yang buruk itu bagus

Semalam, dalam sebuah ujibakat yang saya hadiri secara rela paksa, saya dan rakan-rakan diajukan pendapat untuk meningkatkan kualiti filem kita. Pelbagai pandangan, yang sebenarnya benar belaka.

Saya secara tak sengaja (atau terlalu lama pendam dalam otak) telah menyatakan untuk memangkinkan penganugerahan filem kita, di taraf antarabangsa, kita perlu memaparkan budaya dan sisi-sisi hitam dalam negara kita.

Saya nyatakan hal tersebut adalah kerana, biasanya (bukan semuanya) filem yang mendapat pengiktirafan, biasanya membobrokkan perihal diri, budaya atau masyarakat. Contoh paling dekat adalah Slumdog Millionaire yang memenangi pengiktirafannya yang tertinggi dalam pesta filem beberapa bulan lalu. Filem itu ditentang oleh masyarakatnya sendiri kerana menggambarkan India secara marhaen (sangat tidak komersial). Begitu juga dengan filem Cyclo (1995) dari Vietnam. Kita juga telah menyaksikan betapa masyarakat luar menyukai filem kita seperti triologi Sepet oleh Yasmin Ahmad dan juga filem-filem independent yang sebaris dengannya.

Sebenarnya, pada suatu hari saya sangat terkejut. Kenyataan tentang menghasilkan filem yang memaparakan keburukan supaya memenagi anugerah, telah dinyatakan sevara lisan oleh David Teo (bukan akademik filem). Lihat ini.

Apakah dengan memburukkan (atau menunjukkan) sisi gelap kita, baharulah kita dapat berbangga dengan pengiktirafan antarabangsa ,seperti filem Taste of Cherry arahan Abbas Kiarostami (walaupun sinematografinya indah). Mengapa tidak, kan?

Bukankah kita sebenarnya seseorang itu lebih tertarik pada sesuatu yang buruk berbanding yang cantik. Contohnya, kita sedang duduk termenung di sebuah tasik dengan tenang dan sunyi, kemudian tenampak Megan Fox berjalan di depan.

Apakah cerita yang anda akan sampaikan kepada kawan anda tentang situasi itu?

Nanti.

Kemudian high heel gadis itu patah, dan secara anehnya, dia terjatuh ke dalam tasik.

Bagaimana? Mungkin peristiwa "jatuh" itu lebih ditekankan dan lebih mengesankan untuk diceritakan.

Berbalik pada menayang sisi-sisi gelap, semua suka akan hal ini. Ianya lebih kelihatan realis dan mempunyai kesamaan dengan kita (kebanyakan penonton filem bukanlah golongan atasan)

atau mungkin kerana definisi kebenaran, puji-pujian tentang kehebatan pada manusia zaman ini bersifat lebih artifisial dan kepura-puraan yang menjelekkan, oleh itu memaparkan sesuatu yang berlawanan adalah lebih indah dan segar.

update : lihat ini.

Cara belajar

Perhimpunan anti-ISA: Lima pelajar didapati bersalah

Mahkamah majistret Kuala Lumpur hari ini mendapati lima pelajar universiti bersalah kerana menyertai perhimpunan haram anti-ISA pada Julai 2001.Mereka masing-masing didenda RM3,900 atau tiga bulan penjara. Mahkamah juga menolak permohonan mereka untuk menangguhkan hukuman tersebut.

Majistret Hafiza Sauni, bagaimanapun, melepaskan seorang pelajar daripada tuduhan tersebut.Mereka yang didapati bersalah ialah Rafzan Ramli, Khairul Amal Mahmud, Ahmad Kamal Abdul Hamid, Nik Norhafizi Nik Ismail dan Zulkefle Idris - semasa pelajar universiti tempatan ketika itu.
Mereka telah digantung daripada meneruskan pengajian mereka mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti Act.

-dipetik dari Malaysiakini

Mereka bilang pelajar perlu belajar. Jangan melibatkan diri dengan politik. Saya tak pasti jika 5 pelajar ini terlibat dengan politik. Namun saya berpendapat mereka sengaja hadir untuk menujukkan pendapat mereka tentang akta tersebut. Saya tak tahu sama ada mereka ini suka berpolitik atau apa.

Tapi, tugas pelajar bukan sekadar belajar sahaja. Macam tugas penulis. Ada kerja lain yang perlu dibuat bagi membuktikan diri. Dalam kes ini, pelajar perlu menyuarakan pendapat. Kalian boleh baca sejarah, dan kalian akan dapati di mana pelajar telah menggoncang ketakadilan hingga runtuh menjadi puing-puing. Suara orang muda.Tokoh-tokoh pejuang itu mungkin sama umur dengan kalian,bahkan lebih muda.

Mungkin sekarang kehidupan sangat selesa, hingga kita lupa.
Tak apa. apa boleh buat. Memang inilah yang ingin diterapkan kepada kita.

Mungkin puisi berusia setengah abad ini, mampu membawa kalian pada waktu di mana menjadi pelajar adalah perkara paling baik seluruh dunia.

Mahasiswa-Usman Awang

Mahasiswa dari kota tanah air
bangunlah!
angkat matamu dari buku
lampaui dinding lampaui tembok
semua menunggu
mengajakmu bersama ke tengah jalan raya kota.

Lihat betapa temanmu telah berdiri di sini
sebaris dengan kami
para buruh dan petani di jalan sungai besi
sederap belajar dari hidup berani

Lepaskan tangan halus kekasih di tasik
atau bersamanya berjalan ke parlimen
kerana tenagamu dengan ilmu di dada
akan merombak erti hidup sebuah negara.

Usman Awang, September 1961

p/s: adakah mereka ini pejuang? bagi saya...ya!

jangan kalau-kalau

apakah rasanya pabila melihat karya sendiri diterbitkan?
apakah rasanya pabila melihat karya sendiri ditayangkan?

kalau saya...
saya segan secara terangan.
malu kalau-kalau karya kecil itu diperbanding
dengan karya-karya besar yang utuh jiwanya.

kalau saya...
saya segan secara terangan
takut kalau-kalau karya saya tidak sampai
dengan jiwa saya yang sentiasa membesar

walaupun saya sentiasa mahu menjadi
sang oedipus yang berkenala serata dunia
dan memecahkan teka-teki tentang diri sendiri
daripada mahkluk singa berkepala manusia
kemudian kembali semula ke tanah air
mengalahkan raja laius yang teguh itu.

mungkin ada kebenaran kisah lama
tentang lipan yang hebat berdansa
berhenti pabila kura-kura
menanya kaki mana yang digunakan pabila menari

walaupun dunia ini perlu banyak fikir
namun yang lebih penting adalah BUAT.

1529110609
dibipi
orang tua-tua sudah bilang
jangan meludahi langit
pasti kan jatuh semula
ke dalam mulut mu

orang tua-tua sudah bilang
hati-hati menunjuk orang
pasti yang tiga jari
menuding ke pada mu

orang tua-tua sudah bilang
dunia ini dipinjam dari anak
pasti apa yang terjadi besok
berpunca dari dirimu hari ini

kau bilang duniamu harus sempurna
sehingga anakmu berhenti jadi pemimpi
TAKUT kalau-kalau GAGAL.

suatu masa kau pernah
menafikan hak
setelah anak itu bekerja
untuk impiannya

hari ini hak itu
mempertikaikan dirimu
setelah kau lebarkan anganmu
untuk dirimu

kau tak perlu menjadi aku
untuk tau
mimpi dicantas
rasanya apa

kita tak perlu menjadi hindu
untuk memahami apa yang dimaksudkan karma

aku ketawa berdekah-dekah di sini
melihat kegagalanmu
kerana aku sakit schadenfreude


kah...kah...kah



p/s : aku simpati padamu, teman-teman. namun apa daya, rasa yang lagi satu ini sangat mendominasi.

Blogger Templates by Blog Forum