orang tua-tua sudah bilang
jangan meludahi langit
pasti kan jatuh semula
ke dalam mulut mu

orang tua-tua sudah bilang
hati-hati menunjuk orang
pasti yang tiga jari
menuding ke pada mu

orang tua-tua sudah bilang
dunia ini dipinjam dari anak
pasti apa yang terjadi besok
berpunca dari dirimu hari ini

kau bilang duniamu harus sempurna
sehingga anakmu berhenti jadi pemimpi
TAKUT kalau-kalau GAGAL.

suatu masa kau pernah
menafikan hak
setelah anak itu bekerja
untuk impiannya

hari ini hak itu
mempertikaikan dirimu
setelah kau lebarkan anganmu
untuk dirimu

kau tak perlu menjadi aku
untuk tau
mimpi dicantas
rasanya apa

kita tak perlu menjadi hindu
untuk memahami apa yang dimaksudkan karma

aku ketawa berdekah-dekah di sini
melihat kegagalanmu
kerana aku sakit schadenfreude


kah...kah...kah



p/s : aku simpati padamu, teman-teman. namun apa daya, rasa yang lagi satu ini sangat mendominasi.

Mengapa ianya dinamai tag?

Mengapa ianya dinamai tag? sangat PPSMI kan.
Baiklah muhsin, ini jawabnya.


1. Apa pula slogan korang kalau korang jadi PM?
"APA YANG PENTING?! KERJASAMA....!!

2. Pilih satu artis yang korang nak jadi PM dan lagu beliau yang sesuai dislogankan?
M.NASIR la...lagu mari berdangdut....kalau serius.. Phoenix Bangkit

3. Najib menggelarkan dirinya PM Rakyat. Korang pulak PM apa? Alasan?
PM COOL... tiada alasan sebab rakyat yang akan gelarkan.

4. Industri yang korang tumpukan bila jadi pm. Alasan?
INDUSTRI SENI la.... Separuh belankawan ditumpukan untuk bidang seni. Dalam masa 10 tahun, confirm balik modal.

5. Benda yang korang nak buang@tambah kalau jadi PM?
Tambah tren bullet dari utara ke selatan. Buang tambang pengangkutan awam, naikkan cukai jalan.

6. Model negara mana korang nak buat affair dan kemudian letupkan? Kenapa?
model mitshubishi evo dari jepun yang baru. Saja nak tau rupe dier meletup. (betul ker jawapan ni?)

saya serahkan soalan ini kepada
AAH
Jaja Kadir
Ratna Kesuma
Wnorhaslina
Rudy Bluehikari

Kisah Bujal kerja pejabat

Entri lalu adalah mukadimah kepada entri ini.

Bujal adalah seorang remaja yang baru dapat kerja. Dia masih muda, mentah namun mempunyai semangat dan cita-cita tinggi dan seringkali kelihatan begitu ambitious. Cerita ini berlaku sebelum Bujal bekerja di sebuah cafe. Dan beliau bekerja di sebuah pejabat. Kerjanya mudah, datang ofis tepat masanya, buat kerja yang diperintahkan, seperti mengfotokopi, mencetak , menyelenggara alatan elektronik dan menyusun fail-fail. Semasa menerima kerja ini, tertulis jawatan sebaga Administrative Manager, yang kedengaran agak baik.

Bujal bukanlah bodoh mana. Dia pernah belajar dengan Lintang,Kahlil Gibran, Augosto Comte, Orson Welles, Hishamuddin Rais dan Ibrahim Hussein. Dia juga belajar dengan alam. Jadi dia faham maksud Administrative Manager di syarikat itu bererti kerani. Bahasa coolnya-ofis boi.

Gaji diterima adalah lumayan-sekaligus membantu dia mengelakkan gejala rempit,ragut dan rompak untuk menjalani hidup. Ironinya,setelah 2 bulan bekerja, dia belum dapat tahu, apakah produk syarikatnya. ( Macam Ted,Marshall,Lily dan Robin yang tak tahu kerja Barney dalam siri How I met Your Mother)

Namun Bujal bukanlah orang Melayu tipikal, yang malas mencari. Jika nampak hantu-setan, dapat keajaiban- Allah. Itu memang tidak dinafikan, namun setiap perkara mempunyai penjelasan-walaupun bukan semuanya! Maka, sekonyong-konyong Bujal ini cubalah menyelidiki objektik syarikatnya itu. Terpengaruh dengan gaya penyiasatan Los dan Faun, Bujal cuba menyiasat, namun tak berjaya. Kerana dia tiada kuasa. Maka dia meperbanykkan membaca buku Detektif Conan, Detektif Q, menonton CSI, Fight Club dan buku Dan Brown.

Pada masa yang sama, adiknya di kampung memerlukan wang sebagai ganti kerana terpecahkan pasu bunga Tok Penghulu yang bernilai RM 6000. Ibunya merayu, malu denganorang kampung. Bujal setuju untuk membayar RM2000 sebagi pendahuluan, dan dia terlupa tanya bagaimana Tok Penghulu mampu membeli pasu yang berharga RM 6000 semasa lawatan bersama Parti Keris ke China, sedangkan projek pusat bacaan kanak-kanak terbengkalai sejak 3 bulan lalu. Ehm....

Kembali semula kepada kisah Bujal di ibukota, duitnya juga banyak dikeluarkan untuk membeli buku. Ini kerana, buku di Malaysia tidaklah murah mana dibandingkan harga jualan buku negara lain. Namun, kerana banyak baca buku, Bujal berjaya mengalami pencerahan minda. Sejurus itu, dia mendapat tahu apa yang syarikatnya lakukan.

Syarikatnya telah mengeluarkan cermin mata teknologi tinggi kepada mahasiswa di negara. Melalui sebuah skim bantuan kerajaan, setiap pelajar diharuskan memakai cermin mata. Cermin mata itu dicipta supaya mahasiswa ini dapat melihat kebaikan dan kesempurnaan. Hebat bukan. Sangat kool. Namun sebenarnya cermin mata itu ada kesan sampingan- ianya akan menjadikan minda sukar berfungsi. Atau lebih senang, malas baca dan fikir. Dan kesan sampingannya yang paling Bujal tak boleh terima adalah ianya hanya dapat melihat kebaikan!

Jadi tercetuslah dialog antara Bujal, rakan sepejabatnya dengan penyelianya. Sama macam entri peristiwa di kedai kasut itu. Namun Bujal lebih hebat, dia berjaya menikam bertubi-tubi rakan dan penyelianya dengan Socrates.

Dan kini, Bujal berada di pintu bilik bosnya. Tiba-tiba waktu yang dilalui menjadi lambat. Dan dia teringatkan adiknya di kampung. Dia percaya, apa yang akan dia lakukan akan mengubah kehidupan kerjanya. Masa bergerak sangat perlahan, sedangkan Magdalena Delaine yang duduk di meja hujung itu merasakan masa sangat laju-kerana dia bermain game Zuma. Erm...efek kappa namanya.

Pintu bilik itu belum diketuk. Dia boleh pilih antara kebenaran atau penipuan, melawan atau mengikut, angel atau demon, masyarakat atau adik dan dirinya.

Erm..apa pilihannya? Dan bagaimana dia tindakan yang akan dilakukannya.
Dengan rendah hatinya, bayangkan anda Bujal dan kalian dipelawa sambung.

Peristiwa kedai kasut

Sewaktu tengahari tadi, saya ke Jusco Maluri. Asalnya mahu membaca buku, namun atas pelawaan separuh manja, separuh paksa oleh salah satu senior staf di tempat saya berkhidmat, saya akur. Kuasa wanita.

Selepas makan, saya terdengar perbualan 3 lelaki di bahagian kasut.

Alfredo Batista : Kau jangan tanya kasut ni diperbuat dari apa. Kau jual je.

Ghufran Massod : Mana boleh macam tu bang.

Alfredo Batista : Kau jangan tanya boleh? Jual je.

Pinocollo Peronna : Entah kau ni. Aku sepak kang kau ni.

Alfredo Batista : Kau jual jer..yang lain takyah ambil tahu..

Ghufran Massod : Mana boleh bang..saya cari rezeki, saya kena tahu..

Pinocollo Peronna : Kau ni..jual je la..kita kan kerja je..

Alfredo Batista adalah penyelia. Ghufran Massod dan Pinocollo Peronna adalah kawan baik yang baru masuk kerja (melalui pemerhatian 30 saat saya)


Saya tak tahu apa jadi lepas itu. Mungkin kasut yang dijual adalh diperbuat dari kulit biawak pasir. Ataupun mungkin diperbuat daripada babi yang betul-betul babi yang ada virus tu. Tapi, saya yakin Ghufran Massod tak akan berhenti kerja walaupun itu sah kulit babi.

Kerana dia adalah cerminan remaja masakini.

p/s : Alfredo, Ghufran dan Massod sekadar anonim yang saya berikan nama secara sukahati. Yang lain adalah kisah benar

sistem

saya sedikit kecewa kerana dilahirkan pada abad ini. Atau lebih tepat pada zaman moden ini. Ini kerana semua yang perkara yang saya fikirkan, ternyata sudah difikirkan orang terdahulu. Tiada keaslian.

Saya adalah seorang pelajar yang kecewa. Sedari sekolah rendah, hingga hari ini di menara gading. Saya belajar dari guru yang belajar dari gurunya ataupun dari buku. Dan guru saya ini mengajar dengan menggunakan ikhtisar dari pihak yang memerintah.Bermakna, guru ini mengajar saya sesuatu perkara yang baru, bukan mengajar saya untuk berfikir. Bahkan jarang memberi inspirasi budaya fikir. Tidak seperti Rangkaian Socrates-Plato-Aristotles.
Bukan salah guru yang ingin saya nyatakan. Saya menghormati semua guru saya.

Saya kira, ini cuma mainan sistem.

Ini hanyalah sebuah gagasan. Kebenarannya, Saya syukur dilahirkan untuk memahami ini.

Pernah bayangkan apa akan jadi jika kalian lahir seabad awal?

kacamata

Bayangkan kalian sedang duduk. Mata terpejam. Kemudian buka balik mata.
Ada tali di hujung tangan. Disangkut dari atas.
Di hujung kaki. Sebenarnya di setiap sendi badan.

Cuba lihat betul-betul. Mana ada tali tu.
Yang sebenarnya kalian dipaksapakai kacamata imej yang ada imej tali.

Sekarang cuba tonton siaran berita percuma 8 malam.
baca akhbar-akhbar utama.
dengar radio popular.

Nak tanggalkan kacamata tu?

kalaulah masih perasan yang kacamata tu tersangkut di kepala.

Penulis perlu menulis

Saya berehat agak lama. Saya gusar menulis lewat hari-hari sebelum saya bercuti. Tapi tak bermakna saya berhenti langsung. Saya telah mencari ruang dalam diri untuk perbaiki. Namun, tanpa menulis, saya sukar ketemui ruang cacat itu. Jadi, saya cuba membaca lebih. Ternyata, bila banyak membaca tanpa menulis, fikiran semain berat.


Saya telah diterima untuk berkhidmat seketika di intitusi yang memartabatkan bahasa Melayu pada tahap tertinggi. Tanpa gaji. Mungkin ini akan menjadi titik tolak untuk saya mengerti tentang perjuangan.



Rutin harian yang barangkali sama mungkin akan menyesakkan saya. Saya pernah beranggapan bahawa kerja di pejabat akan menjadi menarik. Ternyata saya lebih gemar hidup ala bohemian. Ruang yang sama dengan entiti yang sama setiap hari. Akan tetapi kerja di sini, walaupun tidak lari dari skeptikal saya, ianya memberikan pengalaman menarik. Kerana saya telah memilih untuk menjadikan ia seperti mana saya inginkan.

Dan setiap kali waktu senggang (waktu makan) saya akan mencuri ke sini untuk bertemu dengan sesuatu yang saya tak sempat ketemu, kerana saya belum dilahirkan. Ianya tidak ada di tempat lain. Dan saya boleh mengakses ke dalam ini dengan lebih mudah. Tempat ini dinamai Pusat Dokumentasi Melayu. Saya cuba mengkaji budaya sebelum saya wujud. Indah.

p/s: waktu-waktu sukar saya....inilah..

puisi cuma

tidak sempat menulis, ataupun mungkin banyak sangat yang perlu ditulis, membuatkan saya tak tertulis. Saya akan kembali semula, pada waktu yang ditetapkan. Tidak lama. Sementara, saya hadiahi puisi ini.

langit masih mendung lagi
malam ini
cinta hadir lagi
cinta hadir lagi
di saat-saat kesepian

rembulan masih menyinari lagi
malam ini
bahagia bertandang lagi
bahagia bertandang lagi
di celah-celah kegelisahan


bintang tetap sembunyi lagi
malam ini
cinta itu gelisah
begitu gelisahnya cinta
di tengah-tengah kesepian
mengapai harapan

05042009 1250am

Kita anggap...namun...

Setahun yang lalu, di pesta buku antarabangsa Kuala Lumpur, saya melihat sosok ini.



Ketika ketibaannya yang cuma bertopi hitam,berbaju merah mulai duduk di tempat yang tiba-tiba disediakan, saya berasa sedikit jengkel.

"Kini di booth PTS, kami ada sesi tandatangan dengan Andrea Hirata. Siri ketiga dari tetralogi Laskar Pelangi-Edensor baru sahaja dipasarkan. Anda boleh dapatinya di booth kami. Andrea Hirata juga sedang meyiapkan tetraloginya yang terakhir, Maryamah Karpov"
(baca: dengan penuh semangat seperti di kaki lima penjual ubat)

Saya tertanya-tanya,apakah penulis dari Indonesia ini begitu hebat sehingga layak dilayan sebegitu. Jika dilihat pada tentatif program itu, tidak pula ada slot penulis itu, yang sepatutnya adalah pelancaran buku Rahsia Bisnes Mamak oleh teman saya, saudara El-Maaniq.

Saya sempat mengomel kepada sahabat saya,Ratna.

"Best sangat ke mamat tu..novel nak banyak-banyak. Macam picisan. Huh..nak tiru Harry Potter la tu" (baca:skeptikal terhadap bangsa lain)

Kemudian kami berlalu dari situ, mencari kalau-kalau ada Faisal Tehrani.

****************

Setahun kemudian, di ruangan maya, ramai membicarakan tentang sebuah filem berjudul 'Laskar Pelangi'.
Di ruangan realiti, di mana apa yang dilihat biasanya bukan yang sebenar;
seorang lelaki separa kacak, Muhsin membawa-bawa sebuah buku berjudul Laskar Pelangi. Seperti biasa, buku yang dibawa ke mana-mana oleh seseorang menimbulkan syakwasangka dari saya. Belum sempat saya tanyakan, beliau menyuruh saya membacanya. Katanya mutakhir dan sering memberi penegasan terhadap kata-kata ini.

"Tiba-tiba aku malu mengagumi Ramlee Awang Murshid selepas baca buku ni"

Saya mula membacanya. Sampai mukasurat ke 10, saya sudah mengalami suatu rasa yang mengharukan. Saya jelajahi penulisan Andrea Hirata di mana-mana. Seperti mahu mengatakan

"Pandanglah masyarakat Malaysia! Pandanglah wahai orang yang menjadikan membaca gaya wawasan! Pandanglah buku yang aku baca, dan tanyakan menarikkah novel itu. Aku kuceritakan dengan penuh semangat. Akan kuceritakan kegeniusan Lintang serta kehebatan Mahar"

Menceritakan tentang kemiskinan takkan mampu melawan hasrat belajar, namun kemiskinan mampu menghalang dari berjaya. Ternyata tokoh ini adalah Melayu. Melayu dari kepulauan Belitong, Indonesia. Dan dia membuatkan saya membeli novel keduanya, Sang Pemimpi.

-----------
Kisah yang hampir sama ketika saya menonton Di Sebalik Tabir Ada Apa Dengan Cinta. Saya melihat sosok ini. Apakah jenis produser dia ini?


Rupanya dia adalah pengarah yang sempat membuatkan saya terharu, lewat filemnya Gie. terdapat dua kata-kata yang sukar saya lupakan;

"Politik itu lumpur,namun jika terpaksa,aku perlu terjun ke lumpur itu"
"Lebih baik diasingkan daripada berserah pada kemunafikan"

Dan tokoh ini telah manghasilkan karya dari karya tokoh atas yang lagi satu.

p/s: 1)orang yang selalunya kita pandang rendah pada mulanya, akan membuat kita mendongak kemudiaannya.

2) terima kasih saudara azmir atas penganjuran retrospektif riri reza.

Alam MUZik M.Nasir2


klik untuk paparan lebih besar

Alam MUZik M.Nasir

Malam tadi, seorang amer zaman menemukan makna yang dicari. Dia tidak dihargai secara langsung. Atau terlibat dalam apa-apa majlis penghargaan. Dia hanya menghargai. Bahasa tingginya, mengapresiasi. Dan kerana dia menghargai sesuatu yang layak dihargai olehnya, dia merasa dirinya juga telah dihargai.

"Malam ini aku mengecapi sebuah eskapisme yang tiada tara. Aku telah memasuki sebuah alam lain. Alam yang membebankan aku dengan sebuah makna baru,dan menghilangkan beban dari duniawi. Alam muzik M.Nasir. Aku tidak ingat bila aku kenal dia. Mungkin 15 tahun dahulu, ketika Disember, ketika Tanya Sama itu Hud-Hud diumumkan sebagai lagu terbaik, sejurus kemudian, ibuku selamat melahirkan adikku. Mungkin juga lebih awal dari itu, sewaktu lagu Anak-Anak kita menjadi siulan.

Aku bukan dilahirkan untuk meminati segala jenis muzik. Pada tahun 2000, selepas mendengar rentetan peristiwa Konsert Gembala, Konsert Akar, Konsert Phoenix Bangkit, aku mula mengenali sosok ini. Perlahan-lahan jiwa aku meresapi dalam muziknya. Kaset Mentera Semerah Padi yang dibelikan ibuku, bagaikan sebuah kitab bahasa. Aku mempelajari kata-kata baru. Apokalips, Kersani, Raksa dan Andalusia. Tidak dapat aku nafikan, penulisan aku terpengaruh darinya dan juga Loloq. Sejak itu aku tidak berhenti mencari. Kisah Hud-Hud, kisah Andalusia, kisah Hamzah Fansuri dan kisah melayu sendiri. Di situ aku berjumpa Jalaludin al-Rumi dan beberapa penyair sufi. Mungkin kerana Loloq.

Proses pembelajaran aku terhadap kehidupan juga banyak dipandu oleh lagunya, liriknya mungkin. Persoalkan apa, dan aku akan kaitkan dengan teori lagu M.Nasir. Kedengaran aku begitu ekstrem dan lucu. Tapi apalah bentuk hiburan oleh seorang remaja seperti aku. Aku tidak mengagungkannya. Ini kerana lagunya memberi suatu keinsafan. dengarlah lagu Kepadamu Kekasih dan Salam Dunia.

Aku juga tidak menafikan yang dia bukanlah sempurna. Albumnya yang pertama, juga boleh aku kategorikan sebagai teruk. Bayangkan M.Nasir pernah menghasilkan lagu Mari Berdangdut. Namun dengan mendengar album itu, tahulah, yang dia juga seperti kita. Bukan dilahirkan untuk terus hebat. Perlu pencarian yang panjang, untuk melahirkan Saudagar Mimpi dan Canggung Medonan.

Malam ini, keterujaan aku menyerlah. Manunggu 9 tahun. Sama seperti 2 tahun lalu, kita aku menemuramah beliau di Luncai Emas. Aku memasuki, sebuah bangunan yang diberi nama Istana Budaya. Dengan seorang sahabat, yang aku tak tahu bagaimana hendak ungkapkan terima kasih. Muhsin. Kami memulakan kembara ke Alam Muzik M.Nasir.

Pembukaan dengan Gong Impian serta Di Balik Cermin Mimpi. Aku mula terawang.Satu demi satu. Rajawali, Bukalah Hatimu,Falsafah Cinta,Balada Seorang Teman, Langgam Pak Dogo, Hati Emas, Suatu Masa. Ternyata selepas Raikan Cinta, aku dan hampir separuh penonton telah memasuki alamnya. Mungkin penonton hari ke-3 adalah yang paling happening. Diikuti dengan Ada, Phoenix Bangkit dari Abu, dan Sahabat Gua aku menjadi seperti darwis gila berahi. Aku hairan, ketika awal apagi, aku terbaca review dari manggaonline yang mengatakan konsert itu mengantuk. Namun, mungkin sebab itu majalah mangga..apalah yang perlu aku hairankan.

Apokalips sepatutnya lagu terakhir, Namun sifu kembali semula dengan Hijab Kekasih, Juita Citra terindah dan Kepadamu Kekasih. Walaupun banyak lagu yang tidak dapat didendangkan, aku puas. Apakah mungkin kita akan bertemu dengan entiti sepertinya lagi?"


p/s: Saya baru menonton Crash, ternyata itu filem hebat.

Izinkan..

Minggu-minggu yang melelahkan semakin menguncup. Kegembiraan dalam duka pula makin memekar. Tugasan hidup yang mampu membungkam tanggungjawab. Saya harus mencari sebuah eskapisme. Jauh dari alam ini. Untuk mendapatkan katarsis.I

Izinkan saya menikmati alam seketika. Jumpa di sana...sahabat..

Blogger Templates by Blog Forum