Showing posts with label karya. Show all posts
Showing posts with label karya. Show all posts

Sebuah Cerita Pendek

Majistret telah menjatuhkan hukuman mati. Mandatori. Richard akur. Dia tahu, itu bukan kesalahannya. Dia tak bersalah. Tapi, siapa yang akan dengar suaranya? Seorang lelaki biasa yang telah kehilangan segalanya. Tiada keluarga. Tiada kawan. Dan yang penting, dia tiada wang untuk menarik orang menjadi keluarga dan kawannya, malah kebenaran pun tak tertarik padanya lagi. Siapa yang salah? Tiada siapa yang tahu. Tapi yang dia tahu, bukan dia yang lakukan semua perkara tersebut. Dan dia tidak mampu melakukannya. Baginya apa yang terjadi kepadanya bukanlah kebetulan. Tapi konspirasi terancang.

Tap! Bayu menutup televisyennya. Itu adalah filem ke-999 yang ditontonnya. Bayu termenung seketika. Dia termenungkan sesuatu. Apakah yang ditenungnya? Mari kita ke alam khayalannya.

Bayu berjalan-jalan. Seorang diri di tengah-tengah kota Rassday. Orang-orang di situ berjalan dengan pantas. Tidak nampak riak wajah mereka. Tiada yang bersuara. Kota Rassday, mempunyai durasi masa yang lebih pendek dari kota kita. Tiba-tiba Bayu bagaikan ditarik. Dia ditarik untuk melihat seorang wanita berambut perang. Wanita itu memakai kot berbulu. Bulu beruang barangkali. Dipadankan dengan beg Louis Vutton, kasut Prada, kaca mata Gucci dan pelbagai lagi hiasan yang membalut badannya. Kecantikan itu yang menarik Bayu. Bukan kecantikan semulajadinya. Wanita itu juga jalan dengan pantas. Dari sebuah cineplex ke sebuah bakeri. Bayu terus memerhatikannya. Kemudian wanita itu ke tempat meletak kereta di bawah tanah. Di bawah bagunan tekstil terbesar di Rassday. Tidak lama kemudian sebuah kereta keluar. Wanita itu di dalamnya. Sesaat kemudian, kereta itu terapung-apung di udara. Bayu sama mendongak. Berpuluh-puluh kereta ada di udara. Kereta-kereta tersebut terapung-apung, semacam telah memutuskan hubungan dengan graviti. Tiba-tiba Bayu terlihat satu sinaran yang amat terang, disusuli dengan asap. Kereta wanita tadi meletup.

“Ha...! Inilah yang dipanggil filem” Bayu berkata-kata tanpa suara. Dia senyum, membayangkan bagaimana masyarakat akan menghargainya jika dia mampu membuat filem sebegitu. Namanya terpampang di setiap akhbar, majalah, di internet....di mana saja. Itu tak penting baginya, tapi itulah yang dikehendakinya. Dia tersenyum lagi. Kali ini senyumannya beransur-ansur lusuh. Orang yang dinantinya tak juga tiba.

“Mana saja si Baji ni?” bentak Bayu, melepas geram.

“Kau tunggu aku? Aku sudah lama sampai. Kau sahaja yang tidak nampak aku

Bayu terkejut. Dia terdiam. Dia kenal suara tersebut.

“Sss...si..Siapa kau? Kalau jantan, ayuh tunjukkan rupamu” Bayu cuba beranikan diri.

. Ini akulah...Baji. Teman lelaki kau.Takkan kau tak nampak aku? Aku di depanmu. Betul-betul menghadapmu.

“Oh....kau Baji. Bila kau sampai?” Bayu menggosok dadanya, tanda ketakutannya mulai reda. Kancing bajunya terbuka. Kelihatan pangkal dadanya. Dia membiarkan sahaja sebegitu.

“Sudah lama. Kau tidak perasan aku. Kau begitu sibuk dengan idea-ideamu. Ingin merealitikan sebuah fantasi,” sindir Baji.

“Maafkan aku. Aku tak perasankan kau..mahu aku buatkan air?” balas Bayu.

Baji menggeleng sambil tersenyum.

“Kenapa kau senyum?

"Kau dan mimpi-mimpi kau. Kau dan mimpi-mimpi kau" Jawab Baji dan menghilang.


p/s: mungkin akan bersambung. mungkin tidak.

Kisah Bujal kerja pejabat

Entri lalu adalah mukadimah kepada entri ini.

Bujal adalah seorang remaja yang baru dapat kerja. Dia masih muda, mentah namun mempunyai semangat dan cita-cita tinggi dan seringkali kelihatan begitu ambitious. Cerita ini berlaku sebelum Bujal bekerja di sebuah cafe. Dan beliau bekerja di sebuah pejabat. Kerjanya mudah, datang ofis tepat masanya, buat kerja yang diperintahkan, seperti mengfotokopi, mencetak , menyelenggara alatan elektronik dan menyusun fail-fail. Semasa menerima kerja ini, tertulis jawatan sebaga Administrative Manager, yang kedengaran agak baik.

Bujal bukanlah bodoh mana. Dia pernah belajar dengan Lintang,Kahlil Gibran, Augosto Comte, Orson Welles, Hishamuddin Rais dan Ibrahim Hussein. Dia juga belajar dengan alam. Jadi dia faham maksud Administrative Manager di syarikat itu bererti kerani. Bahasa coolnya-ofis boi.

Gaji diterima adalah lumayan-sekaligus membantu dia mengelakkan gejala rempit,ragut dan rompak untuk menjalani hidup. Ironinya,setelah 2 bulan bekerja, dia belum dapat tahu, apakah produk syarikatnya. ( Macam Ted,Marshall,Lily dan Robin yang tak tahu kerja Barney dalam siri How I met Your Mother)

Namun Bujal bukanlah orang Melayu tipikal, yang malas mencari. Jika nampak hantu-setan, dapat keajaiban- Allah. Itu memang tidak dinafikan, namun setiap perkara mempunyai penjelasan-walaupun bukan semuanya! Maka, sekonyong-konyong Bujal ini cubalah menyelidiki objektik syarikatnya itu. Terpengaruh dengan gaya penyiasatan Los dan Faun, Bujal cuba menyiasat, namun tak berjaya. Kerana dia tiada kuasa. Maka dia meperbanykkan membaca buku Detektif Conan, Detektif Q, menonton CSI, Fight Club dan buku Dan Brown.

Pada masa yang sama, adiknya di kampung memerlukan wang sebagai ganti kerana terpecahkan pasu bunga Tok Penghulu yang bernilai RM 6000. Ibunya merayu, malu denganorang kampung. Bujal setuju untuk membayar RM2000 sebagi pendahuluan, dan dia terlupa tanya bagaimana Tok Penghulu mampu membeli pasu yang berharga RM 6000 semasa lawatan bersama Parti Keris ke China, sedangkan projek pusat bacaan kanak-kanak terbengkalai sejak 3 bulan lalu. Ehm....

Kembali semula kepada kisah Bujal di ibukota, duitnya juga banyak dikeluarkan untuk membeli buku. Ini kerana, buku di Malaysia tidaklah murah mana dibandingkan harga jualan buku negara lain. Namun, kerana banyak baca buku, Bujal berjaya mengalami pencerahan minda. Sejurus itu, dia mendapat tahu apa yang syarikatnya lakukan.

Syarikatnya telah mengeluarkan cermin mata teknologi tinggi kepada mahasiswa di negara. Melalui sebuah skim bantuan kerajaan, setiap pelajar diharuskan memakai cermin mata. Cermin mata itu dicipta supaya mahasiswa ini dapat melihat kebaikan dan kesempurnaan. Hebat bukan. Sangat kool. Namun sebenarnya cermin mata itu ada kesan sampingan- ianya akan menjadikan minda sukar berfungsi. Atau lebih senang, malas baca dan fikir. Dan kesan sampingannya yang paling Bujal tak boleh terima adalah ianya hanya dapat melihat kebaikan!

Jadi tercetuslah dialog antara Bujal, rakan sepejabatnya dengan penyelianya. Sama macam entri peristiwa di kedai kasut itu. Namun Bujal lebih hebat, dia berjaya menikam bertubi-tubi rakan dan penyelianya dengan Socrates.

Dan kini, Bujal berada di pintu bilik bosnya. Tiba-tiba waktu yang dilalui menjadi lambat. Dan dia teringatkan adiknya di kampung. Dia percaya, apa yang akan dia lakukan akan mengubah kehidupan kerjanya. Masa bergerak sangat perlahan, sedangkan Magdalena Delaine yang duduk di meja hujung itu merasakan masa sangat laju-kerana dia bermain game Zuma. Erm...efek kappa namanya.

Pintu bilik itu belum diketuk. Dia boleh pilih antara kebenaran atau penipuan, melawan atau mengikut, angel atau demon, masyarakat atau adik dan dirinya.

Erm..apa pilihannya? Dan bagaimana dia tindakan yang akan dilakukannya.
Dengan rendah hatinya, bayangkan anda Bujal dan kalian dipelawa sambung.

Bila ini bukan yang kita mahu

Bujal tahu, ini bukan apa yang di mahukan. Tapi apalah sangat kudratnya jika hendak dibandingkan dengan penggerak alam. Dia cuba, bukan setakat sekadar sahaja. Dia cuba mencari lagi titik yang diperkatakan Archimedes tu. Titik paling tengah. Titik paling sempurna di dunia ni. Di mana kalau kau berada dalam titik ni, kau mampu mengubah dunia. Dia tahu antara nama yang telah menjumpai titik ni. Rasullah S.A.W. Juga ada di kalangan marhaen yang dah jumpa..macam Gandhi, Hitler dan yang baru Obama.

Dia cuba bermuhasabah. Ahh....sudah 2009 selepas kematian Isa A.S...sudah 1430 tahun selepas umat setia berhijrah. dunia ini masih dalam belenggu sama. Masalah yang datang masih mencari paksi keadilan.

Dia tahu dia bekerja dengan orang. Dan majikannya bukan seagama denganya. Majikannya Protestan. Dan ap[abila pertengahan Disember datang, dia telah disuruh memakai topi Santa Klaus ataupun topi Frosty. Hal ini bukan sukar. Sekadar ambil dan pakai apa yang dah disediakan. Lagipun keadaanya akan bertambah ceria. Perayaan akan bertambah indah jika lebih banyak kod-kod perayaan. Raya puasa lebih best dari raya haji sebab ada kod-kod lemang,ketupat,duit raya,mercun,kuih raya, baju baru, bermaafan dan ziarah menziarahi. Bagitu juga dengan Krismas. Dalam Krismas ada Santa Klaus, salji,pokok lampu-lampu, stokin,biskut halia, Frosty, hadiah, chicken ham,ayam turki dan jumbo sales.

Tapi baginya, ia melibatkan prinsip. Krismas bererti Christ-Mass. Walaupun Bujal tak berapa faham Inggeris, tapi baginya Christ-Mass bukan lah tercipta untuknya. Ada rakan yang berkata krismas ni macam maulud nabi, cuma nabi yang berlainan. Dia tengok, teman-temannya begitu bangga dengan topi merah putih tu. "U anggap jer yang u ni peyokong anti kapitalis dan pakai topi tu.", kata seorang gadis separuh kristian, Clara kepadanya.

Bujal sedar, dirinya bukanlah alim sangat, namun dia cuba. Apabila dia diberi kata dua sambil dihulurkan topi itu..
"Take it or leave"

Lalu Bujal berjalan dan tumbankan patung Saint Nicholas di depan pintu tu.

"Ini pasal prinsip" kata-kata akhir Bujal pada Clara.


p/s: Tahniah kepada Caca dengan result PMRnya 5A. Akhirnya dia boleh lawan abangnya.

anak-anak kita

16 september
pertengahan mac
tahun 2010


beraneka tarikh untuk diingati.
walau apa bakal berlaku,
mereka tetap begitu.
tersepit akibat pilihan kita.
siapa yang benar?
anak-anak kita

atau
kitakah sebenarnya sang algojo?

p/s: diinspirasikan dari anak-anak kita oleh m.nasir

impian anak jalanan

saya ada impian. kalian ada impian. semua orang seharusnya ada impian. tapi kadangkala impian itu sekadar angan-angan sahaja tarafnya. tapi jika itu berlaku, ingat kembali saat kita mengimpikan sesuatu itu pada mulanya.


klik untuk gambaran besar

lagu ini tentang iltizam seorang pengejar cita-cita.

p/s: diinspirasikan dari impian anak jalanan oleh kembara

balada apartment mewah

Aku takkan sekali-kali tunduk ke bumi. Untuk apa? Aku sering saja dipadang tinggi. Aku diperbuat daripada pelbagai bahan yang hebat. Pasir dari pantai, simen yang kuat, besi-besi berceracak. Struktur ku dibina dengan teliti. Rekabentuk yang unik, membuatkan ramai yang tergila-gilakanku. Hanya sebulan aku siap dibina, ruang-ruang kecil di dalamku telah diisi dengan pelbagai barang.

Akulah simbol kemajuan. Keagungan. Dan kemegahan penduduk kota. Apartmen De’ Palma. Siapa tak mengenaliku?. Politikus, ahli perniagaan, artis-artis terkenal serta pelancong kelas tinggi. Masing-masing mengenali aku. Akulah tempat berehat. Akulah tempat perlindungan. Akulah tempat.....

Ya..aku dijadikan tempat bermaksiat. Ya kerana aku begini. Aku kelihatannya selamat dari pandangan orang. Aku dikatakan apartmen kelas atasan. Jadi tiada jabatan agama Islam akan melawatku. Mungkin jika kau lihat aku dari jauh, aku kelihatan megah dan angkuh. Namun jiwaku kosong. Hanya dipenuhi dan disumbat dengan dosa-dosa politikus, ahli perniagaan artis-artis dan sesiapa sahaja yang nafsunya menserakahi tubuh. Kenapa mesti begitu? Adakah itu tujuan sebenar aku dibina? Apa alasan yang kau, pak menteri? katakan sebagai kemajuan itu bermaksud yang benar?

Kali ini. Buat kali pertama dan kali terakhir akan kutunduk ke bumi. Telah kuminta jasa bumi untuk menggegarkan lapisan kerak dalamnya. Dan pada waktu yang sesuai itu. Ketika masa yang paling strategik. Aku akan meninggalkan kezaliman ini. Ya. Pada malam ini juga.


*****************************************************************

Besoknya, di dada-dada akhbar terpampang sebuah tajuk dengan font besaiz 40



120 MATI , 70 CEDERA PARAH



Pesta Seks Di Apartment De’Palma menjadikan angka kematian meningkat.

p/s: kisah ini aku reka untuk menujukkan emosi gambar apartmen. sampai tak?

BICARA POHON TUA PADA SUATU SENJA

mari kita rehatkan minda seketika. Tak perlu bicara hal serius. Otak akan penat. Perhatikan gambar di bawah. Dan hayati kisah yang ku ingin kongsi bersama kalian.


i

Kedengaran bunyi enjin jentera-jentera di kota semakin rancak. Jalanraya bertambah sibuk dan sesak. Matahari siang mula merangkak-rangkak meninggalkan tanah di sini. Waktu khidmatnya sudah tamat. Kini syif diganti dengan bulan. Waktu peredaran masa inilah hal ini terjadi kepadaku. Biarkan kuceritakan dengan gayaku tersendiri.

ii

Semua ini bermula tika aku baru pulang dari bekerja. Kulalui sebuah jalan di pinggir kota itu. Jalan yang sunyi. jalan yang jarang dilalui. jalan yang layaknya untuk meletak barang-barang yang tak digunakan. Kerana di sinilah pihak DBKL meletakkan kereta-kereta buruk yang tersadai di tepi jalan di kota. Boleh dikatakan jalan ini adalah tong sampah bagi sebuah kota besar.

Aku terdengar suara mendayu-dayu. Kemudian teresak-esak. Kulihat kebelakang. Tiada sesiapa pun. Ku melangkah deras. Aneh. Suara itu semakin mendekat. Aku terdiam. Aku bukanlah berani. Sepatutnya aku berasa seram. Sepatutnya bulu roma aku meremang. Namun tidak kali ini. Aku seperti bersimpati terhadap suara itu.

"Anak..aku disini"

Suara itu sepertinya menujukan kepadaku. Aku menoleh. Ku dongak ke atas. Mataku melilau mencari arah suara itu. Tiada apa-apa.

"Di sini. Aku di hadapanmu"

Suara itu mula berhenti menangis. Namun nadanya tetap saja sayu.

"Buka matamu.Buka Hatimu"

Suara itu menyambung. Aku menoleh ke belakang. Dibalik semak-semak kelihatan sepohon pokok tua bergoyang-goyang. Benarkah apa yang kulihat. Dan anehnya, aku tak berasa seram melihat kejadian ini. Pohon ini besar saiznya. Batangnya bersaiz 1 pemeluk orang dewasa. Tinggi. Aku tak sempat mengukurnya. Dan yang kelihatan,hanya ranting-ranting tanpa daun.

Aku memberanikan diri.

"Kau panggil aku?"

Pohon tu tak menjawab. Rantingnya mengeluarkan bunyi ketika ditiup angin senja.

"Kenapa kau menangis pohon tua?"

Pohon itu terus berdiam. Aku perhatikan bentuknya. Rantinya yang tak berdaun menyebakkanku. Namun di batangnya,terdapat daun-daun hijau melilit. Tumbuhan parasit barangkali. Kulihat langit. Langit berhenti bergerak.

Tiba-tiba masa terhenti.

"Masaku tak lama lagi. Jadi dengarlah kisahku dan kau ceritakanlah kepada orang tentang aku"

iii

Aku dulu adalah sebatang pokok. Aku tak tahu bagaimana aku boleh terlahir disini. Ya...60 tahun lalu. Suasana di sini mendamaikan. Aku kelihatannya sangat membantu penduduk di kampung ini. Kampung Pohon Teduh. Inilah nama asal tempat ini. Bersempena dengan aku.

Ketika aku gagah dan muda, daunku merimbun. Aku dijadikan tempat perteduhan yang amat baik. Pada waktu pagi, burung-burung berkumpul di dahankau. Mengadakan mesyuarat. Ya. Tapi aku tak berapa faham bahasa burung. Namun kicauannya mendamaikan hati. Anak-anak gadi dirumah berhampiranku akan melayangkan perasaanya ke arahku,pabila mereka membuka jendela pada waktu pagi. Ketika matahari melunsur ke atas, golongan pekerja akan berehat dibawahku. Sementara menunggu waktu makan tengahari. Ada juga yang membawa bekalan dan makan beramai-ramai di bawahku.

Pada waktu petang, anak-anak lelaki akan bermain guli,gasing,getah dan selipar di bawah aku. Ya..permainan ini bermusim. Dan anak-anak perempuan pula bermain batu seremban, masak-masak dan kahwin-kahwin. Daun aku sering dijadikan menu masakan. Ketika matahari senja merangkak pergi, mereka akan meninggalkanku. Aku tahu besok mereka akan kembali. Waktu malam aku,tidaklah sunyi. Aku akan ditemani ayam-ayam kampung yang bertenggek untuk tidur.

Namun tak semua yang indah akan kekal anak muda. Musim berganti musim. Daun-daun aku mula gugur sedikit demi sedikit. Itu tak menggugahkan semangatku. Padaku, setiap yang muda akan tua. Begitu jua denganku. Namun musim yang seterusnya, daunku kembali merimbun. Dan itulah kali terakhir aku tersenyum. Ini adalah kerana seorang gadis.

Tak kusangka, gadis yang kuberikan khidmat setiap hari memperlakukan aku begini. Gadis yang sudah belajar tinggi dan menjadi arkitek yang berjaya telah memperluaskan rumahnya keluarganya. Dan rumah itu hanya dihadapanku. Setelah memperluaskannya, tumbesaran aku terbatas. Aku sukar bernafas. Aku sesak. Ini kerana akarku tak lagi bebas menjadi galian.

Kemajuan telah membunuhku wahai anak. Sekarang kau pulanglah. Akan kuceritakan kisah aku yang lebih dramatik besok hari. Tentang bagaimana aku boleh jadi begini.

iv

Begitulah cerita pohon tu itu kepadaku. Aku ceritakan padamu dengan gayaku sendiri. Tak dapat kusambung kisah ini. Kerana pada besok harinya, kulalui tempat yang sama,pohon tua sudah tiada. Yang tinggal hanyalah tunggul dan ranting.



amerzaman

p.perdana

8 mei 2008


benda tu!!


satu ketika...

dia berlari. langkahnya sangat deras. nafasnya tercungap-cungap. bagaikan tak cukup tanah. bagaikan kekurangan oksigen. dia berlari, menuju ke arah cahaya matahari. ada benda yang mengejarnya. dan benda yang mengejarnya sudah hampir kepadanya. dia perlu mempercepatkan lagi langkahnya. kakinya dibuka seluas-luasnya. benda yang mengejarnya hanya beberapa kali sahaja di belakang. dia sudah tidak mampu mengakali langkahnya. yang dia tahu dia harus berlari. berlari dengan pantas. dia perlukan cahaya matahari. benda itu akan neutral jika berada di bawah cahaya. cahaya matahari hanya 10 meter sahaja di hadapan.

BUUUKKK!!!!!!!

dia jatuh.

SRAASSSH!!!

benda itu mencakar dadanya. sekaligus ianya terobek. benda itu merobek dadanya. meraba-raba ke dalam organ dalamannya. nafasnya tinggal 7. matanya memerah menahan kesakitan maha sakit. benda itu mencungkil jantungnya dengan berhati-hati.

TAAPP!!!

benda itu meragut jantungnya. benda itu mengangkat tinggi-tinggi jantungnya dan mengarahkan ke arah matahari.

SRAAASSHH!!

ARGGHHHHH!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

jantungnya dicakar. dihiris. dia sudah hampir tak bernafas. dia tak mampu memikirkan apa-apa. dia tak mampu membuat pilihan; untuk kali ini. apa yang dia mampu hanyalah melihat jantungnya diperlakukan sebegitu rupa. sakit? hanya dia dan Allah sahaja tahu.

dan tanpa diminta. tanpa disangka, benda itu meletak semula jantungnya ke tempat asalnya di dalam ruang badannya. dan bagaikan dijahit, kulitnya disambung semula. benda itu lari.


kini....

dia sudah pulih. sepenuhnya. tapi, masih ada parut di jantungnya. kau boleh lihat jika.................


NOTA: Jantung boleh juga diertikan dengan hati ataupun heart.
benda yang dimaksudkan adalah CINTA.
dan cahaya matahari itu adalah harapan yang pasti.
dia= jangan ditanya siapa dia.


0938-27022008
p.perdana

dialog cinta


-aku merayu padamu...pilihlah aku
+aku bukannya sesiapa, mengapa kau merayu padaku
-kerana aku begitu mencintaimu
+cinta sejati takkan terucap dengan kata-kata
-namun jika aku berdiam diri, mana mungkin kau akan megetahui isi hatiku
+kau boleh buktikan dengan perbuatanmu
-adakah kau sanggup menerima perbuatanku untuk menggambarkan cintaku?
+buktikanlah...
-adakah kau sanggup berada di tepian pantai menahan bahang sedangkan aku meredah lautan api untuk membuktikan cintaku pada mu?
+imaginasimu melampaui batas keupayaan kau dan janji kau akan memakan diri
-bukankah sudah ku kata, akalmu takkan mampu menerima perbuatanku
+bukankah sudah kukata..hatiku bukan untukmu
-aku bukan mahu hatimu. aku mau cintamu
+tapi telah berikan cintaku pada seseorang
-apakah dia menerimanya dengan ikhlas, sebagai seorang pecinta?
+............
-jika ya, aku turut bersyukur untukmu
+itu bukan urusan kau
-jika itu bukan jawapannya, mengapa tak kau izinkan aku memeluk hatimu?
+cinta bukanlah boleh dipaksa. apa itu kau tidak tahu?
-tapi cinta boleh dipupuk bukan....
+jangan paksa aku..aku tak mampu membuat pilihan
-aku tak memaksa kau....kau juga tak perlu membuat pilihan. Pilihan yang telah memilih kau
+sudah...cukup sudah. ianya takkan berlaku
-baiklah. aku akan berhenti merayu padamu
+itu adalah yang terbaik untuk aku...dan kau juga
-tapi aku takkan behenti meminta pada tuhan.
+ ............


p/s : percubaan pertama membaca hujan pagi,tak berjaya tapi aku dipinjam pula dengan memeluk gerhana..tak sabar rasanya mahu membaca ayat-ayat cinta.

biru

Blogger Templates by Blog Forum