"Tanpa mimpi, orang macam kita akan mati, Ikal" -Arai.
Bagi aku, dalam tetralogi Laskar Pelangi, karya penulis muda, Andrea Hirata, Sang Pelangi lah yang paling romantik dan melankolik,sekurang-kurangnya bagi aku.Adalah satu cabaran bagi Riri Reza bukan sahaja untuk mengekalkan momentumnya dalam Laskar Pelangi, malah perlu bertindak lebih lagi untuk memastikan Sang Pemimpi lebih daripada itu.
Dan, sebagai pengarah, Riri sekali lagi berjaya memukau, menginspirasikan, menggetarkan jiwa penonton.
Filem ini dimulai degan watak Ikal (lakonan Lukman Sardi ) sedang bekerja di Pejabat Pos. Bekerja menjadi sesuatu yang paling dibencinya (pegawai pos) adalah sesuatu yang menyebalkan. Ketika pulang dari tempat kerja, Ikal terlihat sekumpulan remaja berlari, dan di situlah bermula imbas kembali Ikal terhadap zaman persekolahannya (sekolah menengah)
Bagi peminat Laskar Pelangi, mungkin kalian cintakan watak Lintang yang genius, ataupun Mahar yang kreatif. Di sini aku nyatakan, kalian akan kecewa. Namun, Andrea (sebagai penulis) telah memberikan watak Arai-sepupu jauh Ikal, yang kemudian duduk dengan Ikal setelah kematian seluruh keluarga. Jika Lintang adalah punca Ikal bersungguh di sekolah rendah, kini Arai,yang dikatakan Ikal sebagai Seniman Kehidupan- beliau boleh menyulam sisi hidup yang sulit menjadi indah) merupakan punca Ikal cekal menjalani hidup untuk mengejar mimpi.
Maka, zaman persekolahan mereka dilalui bersama dengan seorang lagi rakannya yang gagap serta obses dengan kuda. Di sini sekali lagi, Ikal dikurniakan seorang guru yang mencabarnya mengejar mimpi, menjelajah Indonesia,Afrika serta Eropah. Watak itu adalah Pak Balia, yang akan selalu meminta pelajarnya melaungkan kata-kata (quotation) orang-orang yang berjaya. Macam Shah Rukh Khan dalam Mohabbatein, tapi yang tu sedikit lagha.
Filem ini adalah satu penghargaan kepada bapa-bapa di seluruh dunia. Walaupun Riri tak memaparkan banyak tentang bapa Ikal, namun kita dapat lihat betapa risaunya bapanya terhadap Ikal dan betapa besarnya pengorbanan bapanya. Di sinilah kebijakan Riri dalam mengawal benda-benda yang ringkas menjadi dinamis.
Pada mulanya aku cuba untuk meletakkan prarasa yang lebih rendah terhadap filem ni (kerana aku tak mahu kecewa), lebih-lebih lagi dengan pemilihan pelakonnya, termasuk Ariel Peterpan. Tapi, filem ni mampu membuatkan aku terharu sama banyak dengan aku terharu dengan novelnya. Riri nampaknya berjaya mengawal filem ini, walaupun tak sepenuhnya - bahagian tengah sedikit mendatar.
Filem ini, bagi aku telah membuatkan filem kita ketinggalan, bukan sahaja dari segi naratif, malahan oleh semua aspek kreatif (tak perlu aku huraikan dari segi kerja kamera dan kerja seninya, cukuplah aku nyatakan bahawa bahgian teknikal telah diletakkan di tempatnya) Aku terpaksa nyatakan ini kerana, ketika kita mula sibuk memfilemkan novel seperti Lagenda Budak Setan, Karipap Karipap Cinta dan ombak Rindu(?), filem ini sudah meninggalkan kita dari segi ceritanya (malahan aku terdengar Garin Nugroho akan usahakan Tetralogi Pulau Buru oleh Pramoedya Ananta Toer) Dan ini membawa kepada pertanyaan mengapa Sharad Sharan tak setia seperti Riri dengan mengekalkan latarbelakang ceritanya. (tahun 80-an, mungkin lebih mudah)
Antara yang menjadi semacam satu standatangan Riri adalah lagu untuk filem. Seperti Gie dan Laskar pelangi, Riri masih memilih pemuzik tempatan dengan lagu terbaik. Untuk filem ini, aku tertarik dengan lagu Melayu Asli iaitu Rentak 106 serta Fatwa Pujangga (yang pernah dipopularkan Aisyah. Atau, kalau rajin, cari lagu Cinta Gila nyanyian Ungu-kau boleh jumpa rentak Melayu.
Babak yang paling menarik bagi aku adalah menarik adalah semasa semua pelajar di kelas Pak Balia mengucapkan kata mutiara pilihan masing masing, yang diadun dengan babak Arai dan Ikal berlari. Inspiratif!
Ada yang menyatakan bahawa Riri harus berhenti menghasilkan filem adaptasi dan teruskan filem epik seperi Gie, kerana filem ini kelihatan kurang taringnya. Namun, bagi aku , paling tidak pun Riri harus hasilkan satu lagi sambungannya, Edensor (Maryamah Karpov semakin absurd).
p/s : ulasan ini sangat emosi sebenarnya, lebih-lebih lagi bila lihat kecekalan Arai memenangi Zakiah Nurmala yang rupawan. Dah lah lama tak menulis.